mutakhir

Geng Pamben tumpas [METROTV]

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

KEGIATAN tiga lelaki yang aktif mencuri kenderaan lama di sekitar Ampang tumpas selepas polis berjaya menghidu aktiviti mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohd Zaid Hassan berkata, lelaki yang menggelarkan diri mereka sebagai Geng Pamben itu ditahan dalam dua tangkapan berbeza 17 Mei lalu.

“Ketiga-tiga suspek ditahan berusia lingkungan 30-40 tahun di Salak Selatan dan Cheras. Mereka juga tidak berkerja dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Seorang suspek yang juga dalang utama didapati aktif melakukan kegiatan curi kenderaan ini sejak 2016 dan sudah dua kali menjalani hukuman penjara.

“Manakala dua orang lagi suspek, aktif melakukan kecurian kenderaan sejak awal tahun ini,” katanya ketika sidang media di Balai Polis Pandan Indah, di Ampang, hari ini.

Katanya, modus operandi suspek adalah melakukan jenayah mencuri kenderaan lama seperti lori dan kereta jenis Wira dan Iswara yang tidak mempunyai alat penggera yang diletakkan di tepi jalan dan kawasan perumahan tanpa pengawal.

“Geng Pamben mensasarkan kereta tempatan dan lori yang tiada sistem embolizer (ECU) dan kawasan perumahan seperti pangsapuri, kondominium dan kawasan perumahan flat.

“Mereka juga melakukan jenayah ini pada waktu malam dan bergerak secara berkumpulan.

“Kenderaan yang berjaya dicuri kemudian akan dileraikan dan komponen setiap kenderaan akan dijual untuk perbelanjaan harian dan bekalan dadah,” katanya.

Hasil ujian air kencing turut mendapati dua suspek didapati positif dadah jenis syabu.

Zaid berkata, dalang utama kes kecurian berusia 39 tahun mempunyai 24 rekod jenayah, manakala lagi dua suspek mempunyai 19 dan 16 rekod jenayah lampau seperti dadah dan samun.

“Ketiga-tiga suspek kini direman dan akan diserahkan di Balai Polis Cheras untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2019 @ 1:01pm
d