mutakhir

Demimu ibu

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

DEMI kasih terhadap ibunya yang kini lumpuh selepas tergelincir di bilik air, anak lelaki bukan saja tidak bekerja malah tidak berkahwin semata-mata mahu memberi sepenuh perhatian kepada insan istimewa itu.

Pengorbanan Alias Awang, 40, yang juga anak bongsu daripada 10 beradik menjaga ibunya, Teh Chik, 84, yang lumpuh sejak enam tahun lalu bukan saja menimbulkan rasa kagum terhadap keikhlasan dan pengorbanannya tetapi wajar dijadikan contoh kepada masyarakat.

Teh yang tergelincir ketika mandi di bilik air pada 2013 perlu diuruskan sepenuhnya sekali gus tugas memandikan, membasuh najis dan menyuap makan kini digalas Alias.

Alias berkata, dia hanya menjalankan tanggungjawab sebagai anak yang diamanah Allah SWT untuk menjaga ibu.

“Biarpun saya tidak berpeluang menjalani kehidupan keluarga seperti orang lain namun saya gembira kerana dapat berbakti kepada ibu yang selama ini bersusah payah membesarkan saya dan sembilan adik beradik lain.

“Adik beradik lain ada kehidupan dan tanggungjawab pada keluarga masing-masing dan saya sukarela ingin menggalas tanggungjawab menjaga ibu.

“Jika dibandingkan apa yang saya lakukan ini, masih tidak mampu membalas pengorbanan ibu membesarkan saya selama ini,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Gong, Rusila.

Menurutnya, dia menguruskan ibunya bermula 6 pagi dengan mempersiapkan ibunya untuk solat Subuh, memandikannya dan memberinya makanan selain menukar lampin pakai buang setiap dua hingga empat jam sekali bergantung keadaan.

“Walaupun masa untuk diri sendiri terhad, saya tidak pernah rasa terbeban dan rasa penat itu hilang apabila melihat ibu tersenyum setiap kali saya menguruskannya.

“Dengan usia dan kesihatannya yang tidak menentu, hanya ini masa yang saya ada untuk berbakti kepadanya dan sebab itu saya rela mengenepikan kepentingan sendiri untuk memastikan kebajikan ibu terjaga.

“Adik beradik lain juga tidak melupakan tanggungjawab masing-masing kerana mereka sentiasa membantu dengan memberi makanan dan sumbangan untuk menampung segala keperluan ibu selain menjenguk kami,” katanya.

Abangnya, Shamsudin, 53, berkata, dia bertuah kerana memiliki adik yang sanggup mengorbankan kepentingan sendiri bagi menjaga ibu mereka yang lumpuh.

“Jika diikutkan saya juga ingin menjaga ibu tetapi saya juga terlantar kerana masalah saraf selepas jatuh pokok membuatkan saya tidak mampu berbuat demikian.

“Pengorbanan adik sehingga tidak berkahwin dan bekerja kerana mahu menjaga ibu dipuji kerana tidak semua mampu berkorban sepertinya,” katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2019 @ 5:41pm
d