mutakhir

Datuk, dua wanita didakwa kemuka dokumen palsu [METROTV]

Oleh Shamsul Munir Safini

TIGA lelaki yang juga pengarah sebuah syarikat pemaju hartanah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini, atas pertuduhan cuba mengemukakan dokumen perjanjian jual beli palsu bagi kuota bumiputera sebuah projek perumahan pada 2017.

Ketiga-tiga tertuduh, Datuk Khor Siang Gin, 49, Thein Ling Yen, 41, dan Tan Siew Feng, 50 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Difahamkan, Siang Gin adalah Pengarah Urusan, Ling Yen (Pengarah Bahagian Pemasaran dan Jualan) serta Siew Feng (Pengarah Eksekutif) di syarikat pemaju perumahan itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara niat bersama cuba menipu Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pulau Pinang dengan mengemukakan dokumen perjanjian jual beli (S&P) palsu bagi tujuan mendapatkan pelepasan kuota bumiputera sebanyak 30 peratus bernilai kira-kira RM1,635,870 untuk Projek Perumahan Alila 2 di Tanjung Bungah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang daerah Timur Laut pada 8 Mei 2017.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 setiap seorang berserta seorang penjamin dan menetapkan 28 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Selvaranjini, manakala tertuduh diwakili peguam M Puravalen dan Oh Choong Ghee.

Disiarkan pada: May 24, 2019 @ 6:10pm
d