mutakhir

Perginya anak syurga

Oleh Noorazura Abdul Rahman

“Selepas pulang dari kerja, dia akan segera mencuci pinggan di dapur. Malah dialah yang memasak juadah berbuka puasa hampir setiap petang sepanjang Ramadan,” kata Haniza Safie, 56.

Haniza berkata, dia dan keluarga sangat terkesan dengan kehilangan anak kelimanya, Ahmad Farhan Ahmad Fuad, 27, dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 12.4, Lebuhraya PLUS Isnin lalu.

Katanya, Ahmad Farhan seorang anak yang baik dan menjadi tonggak keluarga apabila menyerahkan separuh gajinya iaitu RM600 kepada Haniza dan suaminya setiap bulan.

“Saya dan suami mengidap pelbagai penyakit dan tidak mempunyai sumber pendapatan lain. Dialah yang banyak membantu keluarga.

“Tak sangka Ramadan tahun ini adalah terakhir untuknya dan raya tahun ini tiada lagi juadah soto yang menjadi kegemarannya di pagi raya,” katanya sebak ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lantrum, Changlun, KUbang Pasu, Kedah, petang ini.

Ibu kepada enam orang anak ini berkata, Ahmad Farhan atau mesra dipanggil Paan pernah kemalangan di tempat yang hampir sama pada 13 Januari 2015 menyebabkan tempurung kepala sebelah kanannya terpaksa dibuang.

Tidak sangka kemalangan berulang semasa anaknya itu pulang bekerja dari sebuah kilang di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Sementara itu, kejadian yang menimpa Ahmad Farhan mendapat perhatian daripada Skuad Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Prihatin Negeri Kedah berikutan arwah adalah pencarum pertubuhan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Halimaton Saadiah Saad berkata, orang tua Ahmad Farhan termasuk adik bongsunya Fairul Ridzwan,16, layak menerima Faedah Orang Tanggungan yang berjumlah keseluruhan kira-kira RM660 sebulan.

“Selain itu, ibu bapanya masing-masing menerima Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM1,000.Diharapkan dengan bantuan ini dapat membantu meringankan beban kedua ibu bapa arwah.

“Arwah sebelum ini juga menerima Pencen Faedah Hilang Upaya Kekal akibat kemalangan 2015 kira-kira RM250 sebulan dan dia masih dapat berkerja selepas kejadian itu,” katanya kepada selepas menyampaikan faedah terbabit.

Dalam kejadian Isnin lalu kira-kira jam 6.20 petang, Ahmad Farhan maut di tempat kejadian selepas motosikal Yamaha RXZ yang ditunggang bergesel dengan sebuah lagi motosikal di Kilometer 12.4, Lebuhraya Utara Selatan, di Jitra.

Disiarkan pada: May 24, 2019 @ 6:17pm
d