mutakhir

'Kaku' lihat rumah terbakar

Oleh Syaherah Mustafa

“SEMUA baju persiapan raya hangus, malah duit yang kami simpan di dalam almari baju sebanyak RM9,000 juga tidak dapat diselamatkan,” kata Samsudin Muhammad, mangsa kebakaran di Kampung Kedai Lama di Rantau Panjang, hari ini.

Kejadian 5.15 petang itu memusnahkan tiga rumah, termasuk kediaman Samsudin, 31.

Samsudin berkata, kejadian berlaku ketika dia berada di halaman rumah dan melihat api marak bermula dari rumah jirannya.

“Saya hanya sempat menyelamatkan dua motosikal, televisyen dan beberapa helai pakaian.

“Saya cuba untuk masuk ke dalam rumah, namun terpaksa keluar kerana tidak tahan dengan bahang api yang terlalu panas kerana struktur binaan menggunakan kayu.

“Melihat api yang marak di depan mata saya kaku. Jiran menghubungi bomba untuk memadamkan kebakaran,” katanya yang juga bekerja sebagai buruh binaan.

Menurutnya, dia bersyukur kerana ketika kejadian isteri, Fatmah Mahamad, 31, tiada di rumah kerana keluar mengambil dua anak mereka di sekolah.

Seorang lagi mangsa, Khatijah Mahmud, 49, berkata, dia tidak dapat menahan sebak melihat rumah yang diduduki selama lebih 17 tahun bersama suami, Mahadi Awang Hamat, 41, musnah dijilat api.

Katanya, ketika kejadian dia keluar berniaga di bazar Ramadan di pekan Rantau Panjang dan terkejut selepas menerima panggilan memberitahu rumahnya terbakar.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus pulang namun rumah sudah 100 peratus musnah. Selain itu, saya juga tidak dapat selamatkan wang berjumlah RM3,000 dan barang kemas.

“Saya hilang tempat berteduh, malah ini dugaan Ramadan paling besar dalam hidup saya. Raya kali ini kami terpaksa sambut dalam kesedihan.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tiada nyawa yang terkorban dan kini terpaksa menumpang di rumah ibu yang tinggal berdekatan,” katanya.

Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Imran Ismail berkata, pihaknya menerima laporan pada 5.21 petang dan seramai 14 anggota termasuk pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Rantau Panjang serta Pasir Mas terbabit dalam mengawal kebakaran.

“Sebaik sampai, dua daripada tiga rumah terbakar 100 peratus dan kami berjaya mengawal kebakaran dalam masa lima minit daripada teruk merebak.

“Jumlah kerugian dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan,” katanya yang sempat berbuka puasa bersama anggota lain di tempat kejadian.

Disiarkan pada: May 24, 2019 @ 9:15pm
d