mutakhir

Kerajaan Perlis beri 'duit raya'

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Kerajaan negeri Perlis hari ini mengumumkan bantuan khas Hari Raya Aidilfitri 2019 sebanyak RM550 kepada semua pegawai Gred 56 dan ke bawah yang dilantik kerajaan negeri.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, antara yang bakal menerima bantuan berkenaan adalah Pegawai Lantikan Perkhidmatan Berkontrak dan pemandu bagi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.

Beliau berkata, selain itu pemandu bagi EXCO Perlis serta Unit Pembangunan Komuniti (UPK) turut diumumkan sebagai penerima bantuan terbabit bagi tahun ini.

“Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk membayar baki sebanyak RM325 kepada pesara kerajaan yang dilantik semula oleh kerajaan negeri Perlis di bawah kontrak perkhidmatan bagi melengkapkan Bantuan Khas Tahun 2019 sebanyak RM550.

“Kesemua bantuan terbabit akan diberikan kepada penerima bermula pada 27 Mei ini iaitu Isnin depan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Azlan berkata, pemberian bantuan khas berkenaan adalah bagi menghargai kakitangan awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

“Diharap melalui pemberian bantuan khas ini dapat meringankan beban kewangan penjawat awam di Perlis dalam merancang persiapan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri 2019 yang di jangka akan disambut pada 5 Jun ini,” katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2019 @ 9:44pm
d