mutakhir

Kumpul RM6,000

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PENGURUSAN Rumah Perlindungan dan Penjagaan Kanak-Kanak Casa Harapan di sini, berjaya mengumpul RM6,000 hingga kini bagi membantu 30 kanak-kanak dan remaja membeli kelengkapan Aidilfitri.

Pengurus rumah berkenaan, Noridani Norhadi berkata, sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk individu perseorangan dikumpul sejak beberapa hari lalu dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Bakti Syabab SeMalaysia.

“Kita tidak tetapkan had, kita alu-alukan orang yang ingin memberi sumbangan wang dan pakaian.

“Insya-Allah, Jumaat depan kita akan bawa anak-anak yatim ini membeli kelengkapan sempena menyambut hari raya Aidilfitri,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan biarpun sudah memasuki 18 Ramadan namun rumah perlindungan itu masih belum menyediakan kelengkapan hari raya kepada penghuninya disebabkan kekurangan dana.

Rumah yang terletak di Lorong Tok Sira, Taman Teluk Cempedak di sini, menempatkan anak yatim berusia enam bulan hingga 19 tahun serta sudah beroperasi sejak 11 tahun lalu.

Ia berdepan cabaran dalam mengumpul sumbangan orang ramai.

Noridani berkata, pihaknya merancang untuk membelikan dua pasang baju dan sepasang kasut untuk setiap penghuni di rumah perlindungan itu.

Disiarkan pada: May 25, 2019 @ 6:20am
d