mutakhir

Demi anakku

Oleh Mary Victoria Dass

RUTIN hariannya bermula seawal jam 4 pagi dengan menyiapkan kuih-muih untuk berniaga di gerai berhampiran rumah, manakala pada sebelah petang bekerja sebagai pemandu van sekolah.

Itu pengorbanan seorang wanita kepada keluarganya selain menjaga dua anak syurga yang mengalami masalah atrofi otot tulang belakang (SMA).

Aidah Simin, 39, dari Bandar Indahpura, di sini, berkata, apa yang dilakukan sepenuh hati demi meringankan beban suami, Mohd Naasrolshah Nafi, 38, yang bekerja sebagai pemandu lori.

Itu antara usaha dilakukan untuk menyediakan kehidupan lebih selesa bagi tiga cahaya mata terutama dua anak syurganya.

Aidah berkata, hanya seorang anaknya berusia 17 tahun iaitu Nurul Atikah dilahirkan normal, manakala dua lagi bergelar orang kurang upaya (OKU) sejak dilahirkan.

Katanya, Nurul Hidayu, 15, dan Muhammad Aiman, 14, tidak boleh berdiri atau berjalan, apatah lagi menguruskan diri sendiri.

“Mereka tidak boleh mengangkat cawan, tidak boleh menulis atau mewarna bagi tempoh masa lama sehingga mengakibatkan pergerakan terbatas.

“Mereka masih menggunakan lampin pakai buang dan setiap pagi perlu diangkat ke bilik mandi selain dipakaikan lampin pakai buang serta pakaian.

“Antara keperluan mereka adalah lampin pakai buang, makanan tambahan, susu khas disyorkan doktor dan sebagainya.

“Malah, kedua-dua perlu menjalani pemeriksaan kesihatan di tiga hospital berbeza iaitu Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) tiga bulan sekali secara bergilir,” katanya.

Aidah berkata, keluarganya perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM800 bagi kegunaan keperluan kedua-dua anak syurganya itu setiap bulan.

Katanya, mereka juga perlu membiayai persekolahan tiga anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kulai Besar termasuk dua anak syurganya yang ditempatkan di kelas khas.

Menurutnya, walaupun menggunakan kerusi roda, kedua-dua anak OKU itu rajin ke sekolah dan pernah terpilih sebagai pelajar cemerlang dalam akademik.

“Oleh itu, saya dan suami sanggup bekerja keras bagi melihat mereka berjaya dan bersyukur kerana suami tidak pernah menghalang sebaliknya memberi dorongan serta bantuan sesuai bagi membolehkan saya bergerak aktif.

“Pada waktu pagi, saya berniaga donat, sosej, pau sambal dan pelbagai jenis kuih bersama rakan yang mana kebanyakan pelanggan kami adalah penduduk bekerja di Singapura.

“Saya akan pulang sebentar bagi menyiapkan anak ke sekolah sambil dibantu anak sulung dan saya bersama suami akan hantar mereka hingga ke kelas sebelum kembali ke tempat niaga dan beroperasi hingga jam 9 pagi,” katanya.

Aidah berkata, dia juga menjaga anak syurganya selepas kedua-duanya pulang ke rumah termasuk meluangkan masa dan mengambil tahu berkaitan aktiviti mereka di sekolah.

Selain itu, dia juga akan bertanya mengenai keadaan kesihatan mereka selain memastikan anaknya mengambil ubat bagi melancarkan pembuangan air besar.

“Malah, sejak tiga tahun lalu, saya juga menyahut cabaran bekerja sebagai pemandu van sekolah milik rakan, separuh masa pada sebelah petang iaitu hingga jam 7 malam.

“Sebelum keluar rumah, saya akan pastikan keselamatan anak, perjalanan saya hanya sekitar kawasan perumahan ini bagi memudahkan saya memantau mereka.

“Suami juga melakukan kerja tambahan kerana harapan kami adalah untuk memberi lebih keselesaan kepada anak-anak,” katanya.

Katanya, bagi anak bongsu, mereka berjaya mendapatkan kerusi roda khas berharga kira-kira RM4,500, baru-baru ini, bagi memudahkan pergerakannya.

Kini, mereka juga berusaha mendapatkan kemudahan sama bagi anak kedua dengan pendapatan sampingannya kira-kira RM800 itu setiap bulan.

Aidah berkata, tulang belakang anak keduanya berbentuk S dan kemudahan itu membolehkan tubuhnya menerima sokongan di bahagian belakang.

“Kami memasang impian untuk membeli kerusi roda khas kepadanya dan akan terus bekerja keras bagi mengumpul wang secukupnya,” katanya.

Bagi meringankan beban keluarga Aidah, orang ramai boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik wanita itu di 0110741000030928.

Disiarkan pada: May 25, 2019 @ 6:40am
d