mutakhir

MAVCOM luluskan penerbangan tambahan

Oleh Mohamad Hussin

SURUHANJAYA Penerbangan Malaysia (MAVCOM) meluluskan 851 penerbangan tambahan bagi laluan domestik sempena musim perayaan Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Aidilfitri 2019 bermula hari ini hingga 17 Jun depan.

Ketua Pegawai Operasi MAVCOM, Azmir Zain berkata, tambahan penerbangan ini membabitkan tiga syarikat iaitu Malindo Air, AirAsia dan Malaysia Airlines yang menawarkan 115,000 tempat duduk.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan MAVCOM terhadap 10 laluan ‘popular’ mendapati tambang penerbangan sebulan bagi perayaan berkenaan lebih rendah.

“Tambang udara secara amnya di antara 12.7 peratus hingga 74.9 peratus lebih rendah berbanding dengan purata tambang udara pada Jun tahun lalu bagi ketiga-tiga musim perayaan ini.

“Selari dengan keperluan pengguna untuk balik ke kampung semasa musim perayaan, kita menggalakkan syarikat penerbangan menambah kapasiti dan operasi mereka.

“MAVCOM menjangkakan lebih banyak permintaan penerbangan terutama dari Sabah dan Sarawak berikutan cuti umum Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri,” katanya pada sidang media di pejabat MAVCOM, Kuala Lumpur, hari ini.

Azmir berkata, tambahan penerbangan membabitkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Alor Setar, Kota Kinabalu, Bintulu, Kuching, Labuan, Miri, Sandakan, Tawau dan dari Terengganu ke Kuala Lumpur.

“Kita mengakui tambang penerbangan pada beberapa laluan yang diperhatikan masih kekal tinggi walaupun dengan adanya penerbangan tambahan.

“Ia mencerminkan permintaan yang lebih tinggi untuk penerbangan udara semasa musim perayaan relatif kepada tempat duduk yang disediakan dan antara contoh penggunaan harga dinamik oleh syarikat penerbangan.

“Penumpang dinasihatkan merancang perjalanan mereka terutama musim perayaan dengan menempah penerbangan lebih awal dan memilih waktu penerbangan yang sesuai kerana terdapat tambang yang lebih rendah,” katanya.

Menurutnya, MAVCOM mengingatkan syarikat penerbangan tidak mengenakan caj tersembunyi kepada penumpang di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).

“MAVCOM telah meminda MACPC 2016 berkuat kuasa Jun ini selaras dengan matlamat suruhanjaya untuk memastikan perlindungan hak pengguna.

“Melalui perubahan kepada MACPC ini yang memerlukan syarikat penerbangan mendedahkan sepenuhnya harga muktamad tiket penerbangan,” katanya.

Selain itu, katanya, MAVCOM menerima 821 aduan daripada pengguna bagi tempoh Julai sehingga Disember tahun lalu membabitkan aduan penerbangan yang dibatalkan atau ditunda, kehilangan, kerosakan dan kelewatan bagasi serta bayaran balik.

“MAVCOM telah mewujudkan ‘FlySmart’ sebagai inisiatif khas untuk mendekati dan menyampaikan maklumat kepada pengguna mengenai hak penerbangan mereka.

“Pengguna boleh melayari laman web: https://flysmart.my/en/home/ atau melalui Facebook (@FlySmartMY) dan instagram (@flysmartmy) untuk maklumat tentang hak pengguna serta tip perjalanan,” katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2019 @ 9:40am
d