mutakhir

105 saman dikeluarkan, 36 motosikal disita

Oleh Zuliaty Zulkiffli

EMPAT individu termasuk dua remaja ditahan polis dalam operasi Ops Samseng Jalanan di Simpang Pong Manis / Pong Utara, Padang Terap, semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, empat tangkapan membabitkan lelaki berusia antara 14 hingga 20 tahun kerana melakukan pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara berbahaya manakala seorang lagi berusia 14 tahun ditahan mengikut Seksyen 108 APJ 1987 kerana menunggang motosikal bernombor pendaftaran palsu.

“Seorang lagi remaja berusia 16 tahun ditahan kerana didapati menunggang motosikal curi bersangkut laporan Pokok Sena RPT/001040/10 yang dilaporkan hilang pada 28 Jun 2010.

“Kesemua mereka yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut,” katanya.

Noh berkata, operasi bermula 5 petang hingga 10 malam yang membabitkan dua pegawai dan 17 anggota.

Beliau berkata, operasi dilakukan berikutan maklumat yang diterima daripada orang awam berhubung kegiatan samseng jalanan yang berlumba dalam keadaan berbahaya di kawasan itu.

“Operasi dijalankan dengan menutup laluan di lima lokasi yang dipercayai digunakan untuk masuk ke kawasan berkenaan.

“Dalam operasi itu, 50 penunggang serta pembonceng diperiksa ketika operasi dilakukan dan 36 motosikal disita selain 105 saman dikeluarkan yang membabitkan pelbagai kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Disiarkan pada: May 25, 2019 @ 10:50am
d