mutakhir

Demi tugas...

Oleh Syaherah Mustafa

KETIKA umat Islam lain berbuka puasa dengan keluarga, sepasukan anggota bomba dan penyelamat terpaksa berbuat demikian di lokasi kejadian kebakaran di Kampung Kedai Lama, Rantau Panjang, malam tadi.

Seramai 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang dan Pasir Mas berbuka puasa dengan air mineral dan kurma di tempat kejadian selepas operasi memadam kebakaran dilakukan.

Dalam kejadian 5.15 petang semalam, tiga rumah terbakar namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Imran Ismail, berkata, demi tanggungjawab dan tugas membantu masyarakat anggota tidak pernah mengeluh walaupun terpaksa berbuka serba ringkas.

Katanya, mereka sudah biasa dengan keadaan itu setiap kali Ramadan kerana sentiasa bersedia dengan apa sahaja kes di luar jangkaan yang berlaku tidak kira masa.

“Biasanya jika ada operasi membabitkan kebakaran atau khidmat khas yang berkaitan nyawa dan harta benda, pihak kami akan mengambil tindakan segera tidak kira waktu kerana keselamatan masyarakat menjadi keutamaan kami.

“Biarpun tangan masih kotor serta keringat peluh ketika bertugas, kami masih menjalani ibadah puasa serta berbuka.

“Kami juga berterima kasih kerana ada dalam kalangan penduduk yang menyumbangkan makanan serta minuman berbuka buat kami di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran rumah di Kampung Kedai Lama, Rantau Panjang, malam tadi.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 1, Balai Bomba Rantau Panjang, Zaimi Samat, berkata, berbuka di lokasi sesuatu yang menyeronokkan kerana dapat mengeratkan hubungan sesama anggota.

“Saya pernah berhenti makan ketika sedang berbuka puasa kerana bergegas membantu memadamkan kebakaran.

“Selain kes kebakaran, ada juga yang membabitkan kemalangan. Biar apa pun keadaan, kami sebagai anggota bomba mengambil serius dan mengutamakan keselamatan masyarakat.

“Kami tidak mahukan pujian kerana apa yang kami lakukan adalah demi tugas dan tanggungjawab. Bulan Ramadan tidak boleh dijadikan alasan untuk kami tidak menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

Pix Fathil Asri.

Disiarkan pada: May 25, 2019 @ 10:59am
d