mutakhir

Gembira dibawa beli baju raya

Oleh Safuri Kamarudin

RASA teruja dan gembira ditonjolkan oleh 200 anak yatim serta miskin di Baling apabila dibawa membeli kelengkapan baju raya di Pasar Raya Jakel, Sungai Petani, hari ini.

Ada antara mereka sanggup bangun awal pagi kerana kali pertama mereka dirai dengan begitu mesra selain dapat menaiki bas untuk membeli belah.

Begitulah gelagat yang dapat dilihat di sekitar Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) yang diadakan dengan kerjasama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) apabila anak yatim dan miskin ini dibawa membeli pakaian bagi sambutan Aidilfitri nanti.

Seorang kanak-kanak, Norain Rosman, 9, berkata, selepas bersahur dia tidak lena lagi untuk tidur kerana terlalu gembira untuk pergi membeli belah.

“Saya tak boleh lelap mata... lagi takut tidak terbangun tidur dan tidak dapat bersama rakan lain untuk pergi membeli baju raya.

“Ini kali pertama saya merasai suasana yang tidak pernah saya terfikir dapat membeli baju raya di sini,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Norain berkata, sebelum ini dia hanya mampu melihat iklan dalam televisyen keghairahan orang ramai berpusu-pusu ke pusat membeli belah itu untuk membeli baju raya namun kali ini dia dapat merasai sendiri kegembiraan itu.

Seorang remaja, Mohd Omar Mohd Rizal, 14, berkata, dia bersyukur kerana ada pihak yang sudi membantu untuk mengurangkan beban golongan yang tidak berkemampuan seperti mereka.

Beliau berkata, kalau setiap tahun hanya memakai baju raya biasa dan adakalanya tidak bertukar dan terpaksa memakai pakaian yang lama.

“Tapi kali ini macam mimpi dapat pergi beramai-ramai dengan rakan yang lain untuk membeli baju raya baru.

“Saya bersyukur sangat-sangat dengan sumbangan itu dapat mengurangkan beban keluarga,” katanya.

Mohd Omar berkata, dia berterima kasih kepada Harian Metro (HM) dan PLUS kerana prihatin dalam membantu mereka yang susah.

“Sumbangan yang diberikan itu membuktikan pihak berkenaan peka dengan golongan miskin.

“Malah bagi saya ini adalah amalan terpuji di bulan yang mulia ini, ” katanya.

Sementara itu Pengarang Eksekutif Komersial Harian Metro (HM) merangkap Pengerusi Penganjur TKHM 2019, Husain Jahit berkata, 200 anak yatim dan miskin dibawa dengan menaiki bas untuk ke pusat membeli belah di Sungai Petani itu.

“Mereka turut diiringi lebih 100 sukarelawan untuk membantu kanak-kanak ini.

“Sebanyak lima bas disediakan untuk membawa anak-anak pergi membeli belah hari ini,” katanya.

Habis.

From: Aizat

Disiarkan pada: May 25, 2019 @ 11:58am
d