mutakhir

RM160,000 lesap diperdaya 'ejen pemasaran'

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

POLIS memburu dua lelaki yang disyaki memperdaya pasangan warga emas dengan menawarkan kupon pengisian petrol secara percuma sehingga kerugian RM160,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, kejadian berlaku di pusat beli-belah di Seremban 2, Seremban, 9.30 pagi kelmarin.

Menurutnya, dua lelaki memakai pakaian seragam syarikat petrol terkemuka dan mengaku sebagai ejen pemasaran menawarkan kupon pengisian petrol bernilai RM200 kepada suami isteri berusia 70-an.

“Suspek mendakwa mangsa berpeluang menggandakan wang dengan membuat pelaburan melalui syarikat petrol berkenaan yang mana wang dilaburkan akan bertambah sehingga dua kali ganda.

“Mangsa tertarik dengan promosi itu lalu ke bank berhampiran dengan ditemani suspek dan mengeluarkan wang berjumlah RM160,000.

“Suspek kemudian membawa semula mangsa ke pusat beli belah itu dengan menaiki kereta kerana mendakwa pejabat mereka terletak di dalam premis berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aibee berkata, suspek mengambil wang itu lalu keluar kereta untuk ke pejabatnya sambil diekori mangsa lelaki, manakala isteri dan seorang lagi suspek menunggu di kawasan parkir.

Katanya, suspek berpura-pura masuk ke dalam premis sebelum melarikan diri.

Seorang lagi suspek yang menunggu di dalam kereta turut melarikan diri.

“Mangsa yang menyedari tindakan suspek itu cuba mengejarnya menyebabkan mangsa terjatuh dan cedera,” katanya.

Berikutan kejadian itu, katanya, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Seremban untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, polis menjalankan siasatan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian untuk mengesan suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: May 25, 2019 @ 3:08pm
d