mutakhir

Maut motosikal terbabas

Oleh Garret Dawum

LELAKI warga emas maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan lalu terbabas di Jalan Sungai Moyan Batu Kawa, Kuching, 8.30 malam tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa, Chen Min Sen, 67, disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) jam 9.45 malam oleh pegawai perubatan akibat parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa menunggang berseorangan dari rumahnya di Sungai Moyan menuju ke Kuching.

“Setibanya di lokasi, motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dibantu orang awam sebelum dikejarkan ke HUS untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: May 25, 2019 @ 3:34pm
d