mutakhir

Kalau dah nasib

Oleh Nor Farhani Che Ad

TIDAK sampai seminggu kejadian kereta Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mahkamah Majistret Baling disimbah cat, sekali lagi beliau diuji apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Sidam Kiri, Sungai Petani, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam kejadian jam 12.25 tengah hari tadi, kereta yang dipandu wanita berusia 26 tahun itu dilanggar sebuah lori yang cuba mengelak daripada melanggar sebuah motosikal.

Katanya, ketika kejadian, kenderaan mangsa dari arah Padang Serai menuju ke Sungai Petani manakala lori terbabit dari arah bertentangan menghala ke Kulim.

“Ketika sampai di tempat kejadian, lori terbabit dipercayai mengelak daripada melanggar sebuah motosikal yang keluar dari lorong sebelah kiri jalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar kereta mangsa.

“Akibat perlanggaran, kereta mangsa hilang kawalan dan terbabas di sebelah kiri bahu jalan arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro sebentar tadi.

Adzli berkata, bagaimanapun mangsa tidak mengalami kecederaan.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan kereta TPR berkenaan yang diletakkan di kawasan pagar rumahnya disimbah cat kapur berwarna putih oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Mangsa pernah bertugas di Mahkamah Majistret Kulim selama dua bulan sebelum ditukarkan ke Baling kira-kira dua minggu lalu.

Berita berkaitan

Kereta TPR disimbah cat

Disiarkan pada: May 25, 2019 @ 6:35pm
d