mutakhir

Tanah runtuh, gangguan bekalan air di Taiping

Oleh Muhammad Apendy Issahak

BEBERAPA kawasan di Daerah Wilayah Barat Taiping kini berdepan dengan masalah bekalan air ekoran kejadian tanah runtuh berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) Trong, petang semalam.

Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Datuk Mohd Yusof Mohd Isa berkata, kejadian tanah runtuh yang berlaku ketika hujan lebat itu mengakibatkan paip penyaluran air mentah dari loji terbabit patah dan gagal berfungsi.

“Antara kawasan yang terbabit adalah seluruh kawasan Trong, Changkat Jering, Bukit Gantang, Bukit Berapit, Changkat Ibol serta kawasan berhampiran.

“Pihak LAP sudah mengambil langkah sewajarnya bagi membaik pulih kerosakan selain melakukan pengezonan semula dengan membekalkan air dari LRA Air Terjun kepada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, langkah itu membolehkan beberapa kawasan seperti Pekan Trong untuk kembali menerima bekalan air.

“Bagaimanapun, terdapat kira-kira 2,300 akaun pengguna yang masih mengalami gangguan bekalan membabitkan penduduk di kawasan Changkat Ibol, Bukit Gantang, Kampung Kubu dan Kampung Pauh.

“Dijangkakan bekalan air ke kawasan berkenaan akan kembali pulih dalam tempoh dua hari,” katanya.

Mohd Yusof berkata, pihak LAP akan menyalurkan bekalan air bersih kepada penduduk terjejas dengan menggunakan lori-lori tangki sehingga keadaan kembali pulih.

Disiarkan pada: May 26, 2019 @ 12:16am
d