mutakhir

2,175 saman trafik dikeluarkan

Oleh Norizuan Shamsuddin

POLIS menahan sembilan individu dan mengeluarkan 2,175 saman trafik hasil Op Perdagangan dilaksanakan di dua lebuh raya bermula 23 Mei hingga awal pagi, hari ini.

Timbalan Pengarah (Kepolisan Am/Siasatan/Sumber) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Nadzri Hussain berkata, operasi terbabit dilaksanakan di 13 lokasi membabitkan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang menumpukan kepada kenderaan berat dan perdagangan.

Katanya, operasi dilaksanakan dengan kerjasama JSPT Bukit Aman bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan pihak syarikat pengendali lebuhraya berkenaan.

“Hasil operasi kami menahan sembilan lelaki selepas saringan awal urin mendapati mereka positif dadah jenis syabu dan ganja.

“Pecahan tangkapan adalah membabitkan seorang pemandu lori, enam kelindan dan dua penunggang motosikal.

“Semua suspek berusia 19 hingga 35 tahun diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui lokasi operasi di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini.

Nadzri berkata, 2,175 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan dikesan adalah memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit, tiada lesen GDL, memandu di lorong kecemasan, muatan bahaya dan sebagainya.

“Kami turut menempatkan 14 alat pengesan kelajuan di sekitar lebuh raya ini.

“Operasi sebegini akan dilaksanakan secara berterusan termasuk sepanjang tempoh Op Selamat 15 yang akan dilaksanakan sepanjang sambutan Aidilfitri ini,” katanya.

Menurut Nadzri, sejak Januari hingga April tahun ini, 2,370 Op Perdagangan dilaksanakan di seluruh negara.

“Hasil operasi itu, 6,660 saman dikeluarkan membabitkan lori.

“Manakala, bas pula mencatatkan 7,589 saman,” katanya.

Keterangan Gambar

-NADZRI memeriksa pemandu dan kelindan lori.

-SEMBILAN lelaki ditangkap positif dadah hasil Op Perdagangan.

Tamat

From: Rizuan

Disiarkan pada: May 26, 2019 @ 8:43am
d