mutakhir

Harapnya... peneroka dapatlah duit raya!

Oleh Siraj Mohd Zaini

DENGAN berbaki kira-kira 10 hari menjelang Syawal, seramai 112,635 peneroka FELDA di seluruh negara masih berharap supaya kerajaan memberikan insentif atau duit raya seperti yang dilakukan pada tahun sebelum ini.

Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO FELDA (MPNF), Datuk Mazlan Aliman berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bagi memohon kerajaan supaya mempertimbangkan isu berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya memahami kerajaan sedang menghadapi bebanan hutang, namun insentif berkenaan sangat diperlukan peneroka bagi menghadapi Syawal.

“Kalau kerajaan putuskan tiada duit raya tahun ini, ia akan merunsingkan peneroka dan mereka akan bergantung dengan anak.

“Namun, bukan semua anak peneroka boleh memberi kerana mereka juga ada yang mampu dan kurang mampu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita pada Program Ramah Mesra Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Klang bersama Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Pelabuhan Klang.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah LPP Azmizam Zamanhuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, kerajaan Pakatan Harapan memperuntukkan RM50 juta bagi pemberian insentif kepada peneroka FELDA tahun lalu bagi menyambut Syawal.

““Saya harap, berbaki beberapa hari lagi sebelum raya, kerajaan umum duit raya kepada peneroka ini.

“Sekurang-kurangnya, jumlah duit raya itu sama seperti tahun lalu iaitu RM450,” katanya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan belum ada keputusan sama ada mahu memberi bonus atau duit raya kepada peneroka menjelang Aidilfitri tahun ini.

Disiarkan pada: May 26, 2019 @ 10:50am
d