mutakhir

'Hajar rindu nasi gulai ayam mama' [METROTV]

Oleh Muhamaad Razis Ismail

“AIDILFITRI ini, Hajar pasti rindukan nasi gulai ayam mama,” kata Siti Hajar Quistana Adnan, 8, anak sulung kepada arwah Nur Zurita Kadir, 27, yang maut selepas motosikal ditunggang dirempuh kereta membawa ketum di Kampung Nibong, Tanah Merah, 7 Mei lalu.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, dua adiknya Siti Husna Qaisara Adnan, 4, dan Muhammad Adam Mukhriz, 5, turut meninggal dunia.

Ketika kejadian Nur Zurita dalam perjalanan menghantar seorang daripada anaknya ke sekolah berhampiran.

Siti Hajar berkata, pada tahun ini dia sama sekali tidak menyangka akan menyambut Aidilfitri tanpa ibu dan adiknya di sisi.

“Setiap kali Aidilfitri mama akan sediakan nasi ayam gulai. Masakan mama ini yang Hajar sangat suka setiap kali pagi raya.

“Sekarang, Hajar rasa sunyi tiada adik (Siti Husna) dan abe (Muhammad Adam) kerana kami memang rapat sering bermain bersama.

“Apabila rindu sangat, Hajar minta dibawa ke kubur lawat mereka.

“Setiap kali nak tidur, Hajar akan ingatkan mama dan adik. Dulu dapat tidur dengan mama sekarang Tok Ma (nenek) jadi pengganti,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya Faridah Latif, 49, di Kampung Gual Jedok di Tanah Merah, baru-baru ini.

Ditanya mengenai persiapan raya, Siti Hajar berkata, dia kini sudah memiliki dua pasang baju yang beli oleh ibu saudara dan guru.

Sementara itu, Faridah berkata, cucu sulungnya itu seorang kanak-kanak yang kuat biarpun kehilangan tiga orang tersayang serentak.

“Kini tanggungjawab menjaganya saya ambil alih bersama dengan seorang lagi neneknya di Jeli. Mudah nak menjaganya.

“Alhamdulillah, biarpun kejadian itu baru sahaja berlaku, Hajar seorang yang kuat dan cepat biasakan diri,” katanya.

Berita berkaitan

Amat marah tapi reda

Lelaki rempuh motosikal direman

Suspek rempuh tiga beranak ditahan [METROTV]

Tragedi hantar anak sekolah

Disiarkan pada: May 26, 2019 @ 11:55am
d