mutakhir

Beraya dalam penjara

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

BURUH dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, kerana mencabul seorang wanita di sebuah kedai menjual alatan memancing.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh, Amiro Ikbar Bidi, 24, dari Kampung Binjai Berambu, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 36 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya di sebuah kedai alatan memancing di Jalan Hiliran, jam 5.50 petang pada 30 April lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa yang sedang bekerja di kedai didatangi tertuduh.

Tertuduh menghampiri mangsa sebelum memegang dadanya dan cuba untuk memeluk mangsa tetapi wanita itu berjaya melarikan diri keluar dari kedai.

Susulan laporan dibuat, tertuduh ditangkap di sebuah rumah di Kampung Binjai Berambu, jam 12.20 tengah malam pada 3 Mei lalu.

Disiarkan pada: May 26, 2019 @ 3:49pm
d