mutakhir

Bekas pemain bola sepak Terengganu cedera

Oleh Rosli Ilham

BEKAS pemain pasukan bola sepak Terengganu, Mohd Faizal Muhamad, 30, cedera selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah kenderaan lain di Kilometer 250.2, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Jabor, pagi ini.

Dalam kemalangan jam 9.30 pagi itu, Mohd Faizal yang kini bermain dengan pasukan Melaka United cedera di muka dan kepala.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dipandu Mohd Faizal hilang kawalan lalu merempuh belakang kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HRV.

Rempuhan itu menyebabkan Honda HRV dipandu Nur Alya Zulaikha Mohd Suhaimi, 24, berpusing dan terbalik manakala MPV Mohd Faizal tersadai di penghadang lebuh raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, Mohd Faizal yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang menggunakan ambulans dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Pemandu Honda HRV tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penumpangnya, Sabariah Seman, 60, cedera di dada dan dirawat di HTAA.

“Ketika kejadian, Mohd Faizal dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Sentul Patah, Kuala Terengganu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa,” katanya.

Disiarkan pada: May 26, 2019 @ 4:13pm
d