mutakhir

Simbah cat dengan kemalangan tiada kaitan

Oleh Nor Farhani Che Ad

KEMALANGAN membabitkan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mahkamah Majistret Baling yang berlaku di Jalan Sidam Kiri, semalam tiada kaitan dengan kejadian kereta berkenaan disimbah cat sebelum ini.

Selepas siasatan dilakukan, kedua-dua kejadian disahkan tiada kaitan dan hanya satu kebetulan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, TPR terbabit hanya mengalami kemalangan biasa dan meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi.

Katanya, pemandu lori didapati cuba mengelak daripada melanggar penunggang motosikal yang keluar dari persimpangan secara tiba-tiba sebelum melanggar Perodua Bezza mangsa yang menyebabkan mangsa terbabas di bahu jalan arah bertentangan.

“Ia berlaku ketika motosikal terbabit keluar dari persimpangan dan masuk ke jalan lori.

Jadi (pemandu lori) cuba mengelak dan berlaku kemalangan,” katanya kepada ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, kejadian kereta TPR berusia 26 tahun itu yang disimbah cat pada 20 Mei lalu masih dalam siasatan.

“Tiada kaitan (dengan kes kemalangan semalam). Kes itu masih lagi dalam siasatan kami,” katanya ketika dihubungi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid berkata, beliau menyokong kenyataan dua pegawai polis daerah berkenaan bahawa kedua-dua insiden itu tidak ada kaitan.

Katanya, kedua-dua kes disiasat secara berasingan iaitu mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat bagi kejadian simbah cat.

Manakala, kejadian kemalangan disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.

Berita berkaitan

Kalau dah nasib

Kereta TPR disimbah cat

Disiarkan pada: May 26, 2019 @ 5:18pm
d