mutakhir

Sesak nafas lihat rumah terbakar

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

“SEMUA baju raya yang baharu dibeli semalam tidak sempat diselamatkan dan hangus terbakar,” kata Rozila Rozezali, 31, yang kediamannya musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Rengas, Kuala Terengganu, hari ini.

Rozila berkata, kejadian 2.15 petang itu terlalu pantas menyebabkan dia dan keluarga tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan harta benda dan kelengkapan lain.

“Dalam keadaan panik saya hanya mampu mencapai anak kunci kereta dan motosikal saja serta sempat mengalihkannya dengan bantuan orang kampung, tetapi segala persediaan untuk Aidilfitri hangus terbakar.

“Malah dalam keadaan kalut itu, saya menyuruh anak segera keluar rumah untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Rengas.

Rozila berkata, ketika kejadian dia berada di rumah bersama dua anaknya dan dua anak saudara, manakala suaminya keluar bekerja dan ibunya, Timah Mat Zin, 59, berada di rumah saudara berdekatan.

Timah yang terkejut dengan kejadian itu mengalami sesak nafas dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan bantuan bomba untuk mendapatkan rawatan.

“Saya terbau hangus dan ingatkan ada jiran membakar sampah di luar rumah. Kemudian saya ternampak api di salah sebuah bilik dan cepat-cepat menyelamatkan diri bersama yang lain.

“Emak pula berjalan pulang ke rumah dan kerana terkejut dengan kejadian itu dia sesak nafas dan dikejarkan ke hospital dengan bantuan bomba,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Terengganu, Abd Ghani Omar berkata, sejurus menerima panggilan, seramai 18 anggota bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, ketika tiba di lokasi, api sedang marak dan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran.

“Ketika bomba tiba di tempat kejadian, peratusan kebakaran mencapai 90 peratus dan api sedang marak. Kami mengambil masa 16 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah sebelah.

“Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya.

Disiarkan pada: May 26, 2019 @ 10:09pm
d