mutakhir

Maut tayar pecah

Oleh Nor Farhani Che Ad

PENUNGGANG motosikal maut selepas tayar motosikalnya pecah dan melanggar penghadang jalan di Kilometer 106.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Sungai Petani, malam tadi.

Dalam kejadian 9.35 malam, mangsa dikenali sebagai Mohamad Yusoff Helmi Mohd Fauzi, 25, beralamat di Permatang Sungai Dua, Kepala Batas, Pulau Pinang, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner, Adzli Abu Shah berkata, kemalangan dipercayai berlaku akibat tayar belakang motosikal terbabit pecah ketika kenderaan itu sedang bergerak.

"Mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha RD250 dari arah Alor Setar ke Butterworth.

"Ketika dalam perjalanan, tayar motosikal terbabit pecah menyebabkan motosikalnya hilang kawalan lalu terbabas di kiri lebuh raya sebelum melanggar penghadang jalan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan, mangsa maut serta merta di tempat kejadian berikutan mengalami kecederaan yang serius di kepala.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada kesan daripada kenderaan lain sebaliknya kenderaan mangsa terbabas dengan sendirinya.

Adzli berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 8:34am
d