mutakhir

Kek tapai ubi keju penerus hidup

Oleh Faliq Lajim

BIARPUN diuji dengan kematian suami dan disahkan menghidap kanser tiroid, ia tidak mematahkan semangat seorang ibu tunggal untuk meneruskan hidup bagi mencari rezeki.

Pengusaha Kek Tapai Ubi Keju, Hazlin Howzin, 41, berkata, ia bagi membesarkan anak tunggalnya, Syafiq Haikal Khairul Salleh, 16.

Menurutnya, sebelum kematian suami, Khairul Salleh Mohd Tawil, 43, akibat penyakit buah pinggang, Mac lalu, dia sudah menggalas tanggungjawab mencari pendapatan keluarga bersendirian.

“Selepas arwah disahkan menghidap penyakit buah pinggang tujuh tahun lalu, dua sudah tidak meneruskan perniagaan kedai telefon bimbit secara kecil-kecilan.

“Oleh itu, saya terpaksa memikul tanggungjawab dia dengan mula menjual pelbagai jenis kuih-muih dan bekerja sebagai pemandu di Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah Selangor (DARWA).

“Sepanjang saya mencari wang dengan berniaga kuih, arwah suami dan anak banyak membantu memudahkan kerja saya,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Jalan Kebun, di Shah Alam.

Hazlin berkata, tidak lama kemudian, dia sekali lagi diuji apabila disahkan menghidap kanser tiroid, tiga tahun lalu.

“Keadaan itu menyebabkan saya kerap penat kerana terpaksa berjaga antara 12 tengah malam hingga 6 pagi untuk membuat kuih dan menghantarnya di kedai.

“Alhamdulillah, saya diperkenalkan satu resipi kek yang menggunakan bahan tapai ubi dan keju oleh adik saya.

“Adik saya turut menjual kek itu dan kebanyakan pelanggannya tinggal di Klang. Bagi kawasan Kampung Jalan Kebun dan sekitar Shah Alam, dia akan serahkan semua kepada saya,” katanya.

Dalam pada itu, kata Hazlin, sepanjang Ramadan ini, dia terpaksa bekerja lebih masa bagi memenuhi pesanan kek yang mencecah 60 biji sehari.

“Ramai masih tidak pernah mendengar atau tahu mengenai kek tapai keju itu. Ia sama seperti kek keju lain namun ditambah dengan rasa tapai,” katanya.

Menurutnya, dia menggunakan tapai ubi kayu segar bagi memastikan kek itu sentiasa sedap, berkualiti dan tahan lama.

“Tapai itu kemudian akan diadun bersama bahan lain seperti mentega, gula dan tepung sebelum dibakar.

“Ia dijual dengan harga RM20 bagi kek yang bersaiz tujuh inci,” katanya.

Selain kek ubi kayu, Hazlin membuat sambal kentang goreng untuk dijual pada harga RM12 sebotol dan mampu memperoleh lebih RM2,000 sebulan hasil penjualan dua juadah itu.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 10:29am
d