mutakhir

Susahnya cari buluh...

Oleh Ahmad Ismail

FENOMENA cuaca panas sejak beberapa bulan lalu menampakkan kesan kini, apabila buluh yang akan digunakan untuk menghasilkan lemang sempena Aidilfitri sukar diperoleh.

Buktinya, pencari buluh terpaksa meredah kawasan belukar bagi mendapatkan buluh dikehendaki untuk membekalkannya kepada usahawan lemang dan orang ramai.

Kesan cuaca panas menyebabkan ruas buluh kelihatan kering, manakala daun pokok buluh berguguran sehingga pembesaran tumbuhan itu terbantut

Pencari buluh lemang, di sekitar Segamat, Zakaria Mohd Ali, 48, berkata, sukar mendapatkan buluh lemang tahun ini akibat cuaca panas beberapa bulan lalu.

“Kali ini memang jelas kesukaran memperoleh buluh lemang untuk dijual kepada usahawan lemang, individu dan kegunaan sendiri.

“Keadaan itu menyebabkan saya terpaksa merayau jauh ke dalam belukar sekitar Segamat,” katanya ditemui di Batu Anam, Segamat, hari ini.

Katanya, tidak seperti selalu, kini sukar baginya menemui rumpun buluh lemang yang tumbuh segar dan boleh ditebang mengikut ukuran diperlukan.

“Saya terpaksa memilih yang berkualiti dan ia mengambil sedikit masa,” katanya.

Katanya, ada pencari buluh lemang yang ‘gatal tangan’ dan rakus sanggup memusnahkan anak buluh yang sedang membesar di luar rumpun.

“Tindakan itu menyebabkan buluh lemang berkualiti ditengah-tengah rumpun tumbuhan itu mati,” katanya.

Katanya, apa yang mampu dilakukannya adalah berjalan jauh di sekitar belukar di Batu Anam, Jementah, Gemas, Labis dan Bekok bagi memenuhi tempahan pelanggan, selain terpaksa mengurangkan jumlah tempahan.

“Setiap keratan panjang buluh lemang berukuran 0.8 meter dijual antara harga RM1 hingga RM1.50,” katanya.

Menurutnya, pencari buluh lemang juga berisiko cedera antaranya luka terkena sembilu buluh, disengat tabuan tanah, miang buluh selain disergah tedung selar,” katanya.

Sementara itu, peniaga lemang di Segamat, dikenali sebagai Wan, 40-an berkata, dia sudah mengambil langkah awal mendapatkan buluh di sekitar daerah ini sejak dua bulan lalu.

“Saya memerlukan sekurang-kurangnya 80 keratan batang buluh lemang setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan terutama bagi menikmati juadah berbuka puasa selain tempahan awal sempena Hari Raya, nanti.

“Saya tidak menaikkan harga kerana tidak mahu memberikan alasan kekurangan buluh lemang untuk menaikkan harganya.

“Selain itu saya bersyukur kerana tiada kenaikan mendadak bahan asas penghasilan lemang antaranya beras pulut dan santan kelapa,” katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 10:52am
d