mutakhir

Cari 'king' WCE

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

BELUM sempat Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping dibuka, namun hampir 300 mat rempit sudah ‘merasmikannya’ dalam mencari ‘king’ lebuh raya baru itu.

Ratusan mat rempit itu mengambil kesempatan menjadikan lebuh raya yang masih belum dibuka itu sebagai ‘port’ baru mereka untuk aktiviti lumba haram sejak dua bulan lalu.

Kumpulan itu mendakwa perlumbaan hanya untuk suka-suka dan tidak membabitkan sebarang pertaruhan wang cuma seorang daripada mereka ‘diangkat’ raja litar lumba haram baru itu.

Aktiviti sia-sia dan berbahaya kumpulan itu bagaimanapun berjaya dikesan polis hasil risikan selama seminggu dalam Op Khas Samseng Jalanan Ramadan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bersama Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) Manjung semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, 283 individu dan 277 motosikal diperiksa dalam operasi itu dengan 374 saman dikeluarkan serta 11 motosikal disita.

“Operasi dijalankan bermula 3 petang semalam hingga 12 tengah malam tadi hasil risikan operasi selama seminggu di tapak projek lebuh raya itu.

“Antara saman yang dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada lesen dan cukai jalan tamat tempoh, mengubahsuai kenderaan, penunggang bawah umur serta pelbagai kesalahan trafik lain,” katanya hari ini.

Menurutnya, lokasi itu dijadikan litar baru untuk berlumba haram susulan lokasi sebelum ini di Jalan Ayer Tawar-Lumut berhampiran sebuah pusat bowling di Seri Manjung sering digempur pihak berkuasa yang giat membanteras aktiviti itu selain lokasi baru itu juga agak tersorok dari jalan utama dan belum dibuka kepada awam.

Sementara itu, lelaki yang dikenali sebagai John, 20, berkata, dia yang baru pulang bercuti di kampung datang ke lokasi itu sebagai penonton dan mengakui aktiviti itu menyalahi undang-undang.

“Ini kali pertama saya ke sini dan pinjam motosikal abang saudara yang diubah suai tapi tak sangka pula hari ini polis datang dan terpaksa tolak motosikal lebih lima kilometer ke balai polis.

“Apa yang saya tahu lebuh raya ini menjadi lokasi baru aktiviti lumba haram sejak dua bulan lalu tapi tiada wang pertaruhan kerana ini hanya untuk suka-suka saja dan siapa jadi ‘king’ dia dipandang tinggi dan hebat,” katanya.

Menurut John, lokasi itu menjadi tumpuan ramai bukan saja dari Ayer Tawar malah dari Manjung, Sitiawan, Bota dan Ipoh setiap Ahad bermula dari 5 petang hingga 7 malam.

“Memang ada amaran supaya tidak masuk ke lebuh raya ini tapi sebab tak guna lagi itu yang dijadikan lokasi berlumba, lagipun lorong di sini lebih besar dan aktiviti ini tak sampai malam sebab tiada lampu lagi,” katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 11:39am
d