mutakhir

Apa pun tak dapat !

Oleh Shahrinnahar Latib

HASRAT seorang pengasuh di Kuantan untuk memiliki barang kemas tidak kesampaian, sebaliknya kerugian RM4,247 selepas diperdaya seorang wanita yang menawarkan jual beli emas di Facebook.

Kejadian pada 12 Februari lalu apabila mangsa wanita berusia 30 tahun melihat satu iklan jual beli emas di laman sosial berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa kemudian menghubungi suspek dan hasil perbincangan mangsa bersetuju untuk membeli beberapa barang kemas.

“Mangsa bersetuju membeli dua utas rantai tangan, satu rantai leher, buah loket dan sebentuk cincin dengan harga RM4,247.

“Pada hari yang sama mangsa membuat dua kali pindahan ke dalam satu akaun yang diberikan oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, selepas itu, suspek memberitahu mangsa perlu menunggu kerana barang kemas itu kononnya masih belum diberikan kepadanya daripada pemilik kedai emas.

“Bagaimanapun, sehingga kini mangsa masih belum menerima barang kemas berkenaan. Mangsa yang merasa tertipu datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk membuat laporan semalam,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 21 tahun di sini kerugian RM4,050 selepas ditipu dalam urusan jual beli iPhone XS di Instagram.

Mohd Wazir berkata, kejadian berlaku pada Jumaat lalu apabila mangsa tertarik dengan iklan jualan telefon berkenaan yang dijual dengan harga RM1,850.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 12:36pm
d