mutakhir

Dentuman awal pagi...

Oleh Nurul Amanina Suhaini

KERANI berdepan detik cemas apabila dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat, sebelum menyedari sebuah bas kilang merempuh kediamannya dalam kejadian di Taman Bukit Senang, Senai, dekat Johor Bahru, hari ini.

Mangsa, Alicia Tee Yan Che, 34, berkata, kejadian kira-kira 2 pagi itu ketika dia sedang tidur bersama suami dan anaknya di tingkat atas rumah teres dua tingkat itu.

“Ketika itu saya terjaga dari tidur akibat terperanjat selepas terdengar bunyi yang sangat kuat.

“Saya turun ke bawah dan ternampak sebuah bas tanpa pemandu dari arah depan sudah melanggar sisi dapur rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia bernasib baik kerana rumah diduduki mereka sekeluarga terletak di rumah tepi (corner lot), tiada jiran, selain di sekitar kawasan perumahannya memang tiada kilang,” katanya.

Katanya, dia tidak menolak kemungkinan pemilik bas itu tinggal berhampiran dan parkir di hadapan rumahnya.

“Kerosakan agak teruk kerana membabitkan dinding pecah dan bumbung rumah ranap termasuk beberapa peralatan dapur yang turut rosak.

“Bagaimanapun, keadaan kami sekeluarga selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Alicia berkata, dia sudah membuat laporan polis di Balai Polis Senai berhubung kejadian berkenaan, selain berharap kejadian seumpama tidak berlaku pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya masih belum menerima laporan mengenai kejadian itu.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 12:53pm
d