mutakhir

Dua beranak diragut terhumban ke longkang

Oleh Shamsul Munir Safini

WANITA dan anak perempuan tirinya berusia enam tahun cedera muka dan kepala selepas terhumban ke dalam longkang dalam kejadian ragut di Taman Sri Rambai, Bukit Tengah, Bukit Mertajam semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, dua beranak terbabit menunggang motosikal untuk pulang ke rumah sebelum muncul seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa berusia 40-an mendakwa dikejar suspek yang menunggang sebuah motosikal.

“Mangsa mendakwa dikejar suspek lelaki yang menunggang motosikal Yamaha 125Z biru sebelum beg sandangnya ditarik lelaki itu.

“Wanita Indonesia yang berkahwin dengan lelaki tempatan itu terjatuh ke dalam longkang di kiri jalan,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, wanita itu dan anaknya yang cedera muka serta kepala dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, suspek kini dikesan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 2:30pm
d