mutakhir

Padah ugut ibu, anggota polis ditahan

Oleh Nurul Amanina Suhaini

ANGGOTA polis ditahan selepas dipercayai mengugut ibunya untuk membeli dadah dalam kejadian di sebuah rumah di FELDA Semenchu, Kota Tinggi Jumaat lalu.

Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika anggota polis yang bertugas di Balai Polis Cherang Ruku, Pasir Putih, Kelantan, itu pulang bercuti ke rumah keluarganya di Kota Tinggi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Nik Azaham Nik Aziz berkata, suspek yang berusia 29 tahun berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Jun 2012.

Katanya, dalam kejadian 12.20 tengah malam itu, pihaknya menerima laporan berhubung pergaduhan daripada lelaki yang juga abang suspek.

“Dalam laporan itu pengadu memaklumkan adiknya mengugut ahli keluarganya (emaknya).

“Suspek mengugut dengan pisau dan tukul besi serta menakutkan dengan api selain meminta duit ibunya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, bimbang ancaman keselamatan kepada ibunya, abang suspek membuat laporan di balai polis berhampiran.

“Pada hari sama 2.30 pagi, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Teluk pergi ke tempat kejadian.

“Suspek kemudiannya ditahan serta barang kes iaitu sebilah pisau dan satu tukul besi dirampas,” katanya.

Nik Azaham berkata, suspek yang bercuti dari 7 hingga 30 Mei ini mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) APD 1952.

Katanya, suspek yang sudah bercerai dan mempunyai dua anak itu direman dari Jumaat lalu hingga Khamis ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 3:17pm
d