mutakhir

Sindiket curi kenderaan lumpuh

Oleh Fardy Bungga

TIGA minit untuk melarikan sebuah kereta mewah.

Itu masa yang diperlukan sindiket curi kenderaan yang berjaya dipatahkan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Sindiket yang dipercayai aktif beroperasi sejak awal bulan ini itu dikesan menggunakan alat khas untuk melumpuhkan sistem penggera kenderaan selain memudahkan mereka menghidupkan enjin kenderaan.

Bagaimanapun sindiket itu tumpas selepas empat dalang utama kumpulan terbabit ditahan dari 19 hingga 24 Mei lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, semua suspek yang berusia 32 hingga 45 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berasingan sekitar Kota Kinabalu.

Katanya, polis turut menemui semula enam kenderaan yang dilaporkan hilang dan pihaknya percaya kumpulan itu terbabit sekurang-kurangnya 11 kes kehilangan kenderaan.

“Kejayaan berpunca dari satu laporan kehilangan Honda HRV yang dilaporkan wanita 16 Mei lalu di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS).

“Hasil siasatan, polis berjaya mengesan kenderaan itu dan menahan seorang lelaki.

“Tangkapan suspek pertama membawa kepada penahanan tiga lagi rakan suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

Omar berkata, polis turut memburu seorang lagi ahli kumpulan suspek yang masih bebas dikenali Tommy berusia 34 tahun.

“Tiga daripada ahli kumpulan ini berasal dari Semenanjung manakala dua lagi masing-masing dari Sabah dan Sarawak.

“Semua suspek direman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati salah seorang suspek mempunyai 17 rekod jenayah lampau termasuk bekas tahanan POCA manakala selebihnya masing-masing mempunyai enam dan dua rekod jenayah.

“Modus operasi kumpulan ini mensasarkan kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang diletakkan di pasar raya atau tempat awam,” katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 3:31pm
d