mutakhir

Pengsan kereta dihempap pokok tumbang

Oleh Faliq Lajim

SUASANA di sekitar Jalan Besar Pekan Meru, Klang gempar apabila dua kenderaan yang melalui jalan itu dihempap sebatang pokok tumbang, hari ini.

Dalam kejadian 8.45 pagi itu, pokok berkenaan dikatakan tiba-tiba tumbang dan menghempap kereta Proton Wira serta Toyota Vios yang sedang bergerak.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku ke atas kira-kira lima mangsa yang berada di dalam dua kereta itu.

Saksi, N Ramesh, 34, berkata ketika kejadian dia sedang membaiki peti ais di kedainya sebelum terdengar bunyi bising di luar.

“Pada waktu itu, saya melihat seorang wanita yang menjual surat khabar di bawah pokok berkenaan mengangkat meja dan barangan jualannya ke tempat lain.

“Saya agak pelik namun melihat pokok itu sudah semakin condong ke arah jalan raya dan hampir tumbang.

“Berapa minit kemudian, pokok itu didapati tumbang dan menghempap dua kereta yang sedang bergerak,” katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian.

Ramesh berkata, dia kemudian berlari ke kereta berkenaan dan mendapati seorang wanita di dalam Toyota Vios pengsan berikutan terkejut.

“Namun, dia kemudian sedarkan diri sebelum menangis berikutan melihat keretanya yang rosak teruk akibat dihempap pokok itu.

“Malah, apabila saya mendekati pokok itu, saya lihat banyak anai-anai. Mungkin ia punca pokok berkenaan tumbang,” kata juruteknik itu.

Sementara itu, tukang jahit, Noriah Haldi, 52, berkata dia berharap pihak berwajib sentiasa menyelenggara pokok di situ berikutan cuaca tidak menentu ketika ini.

“Bayangkan, ketika itu cuaca amat baik dan tiba-tiba sahaja pokok itu tumbang. Kebanyakan pokok sepanjang jalan di situ sudah tua dan perlu penyelenggaraan.

“Tambahan pula, jalan itu adalah jalan utama yang menghubungkan ke Klang, Shah Alam dan Kuala Selangor. Ia boleh membahayakan pengguna jalan raya di situ,” katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 5:08pm
d