mutakhir

Tahan bot bawa PATI, dadah

Oleh Faliq Lajim

SEBUAH bot yang ditahan pihak berkuasa di kedudukan 0.3 batu nautika Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, tengah malam tadi bukan sahaja membawa pendatang asing tanpa izin (PATI), malah turut dadah jenis syabu.

Bot gentian kaca yang itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor pada 12.10 tengah malam.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, dalam Op Pagar Laut itu, pihaknya mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan menuju ke Pulau Angsa, Jeram.

“Apabila menyedari kehadiran anggota kami, tekong berkenaan cuba melarikan diri dengan memecut bot dengan menuju ke arah tebing sungai hutan paya bakau Sungai Lima.

“Bot itu kemudian berhenti dan tekong bersama beberapa lelaki melarikan diri ke dalam kawasan paya bakau berdekatan.

“Pemeriksaan ke atas bot itu mendapati tiga wanita warga Indonesia berusia 31 hingga 45 tahun tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Kata beliau, pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan turut menemui 1.5 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai lebih RM100,000 di dalam sebuah beg.

“Kita percaya mereka sedang menuju ke Pulau Angsa yang dijadikan lokasi transit sebelum bergerak ke Tanjung Balai Asahan, Indonesia,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Rosli berkata, pihaknya turut menahan sebuah lagi bot membawa PATI pada jarak 0.1 batu nautika berhampiran lokasi pertama serbuan.

“Kami menahan enam lelaki termasuk tekong dan dua wanita Indonesia berusia 24 hingga 60 tahun yang dalam perjalanan menuju transit sama iaitu Pulau Angsa.

“Mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah dan ingin pulang ke kampung halaman melalui jalan tidak diwartakan,” katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Jeti Pulau Indah untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, serta Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 5:44pm
d