mutakhir

'Awak bodohlah, kenapa cari...'

Oleh Hairulazim Mahmud

“AWAK betul-betul bodohlah,” jerkah seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) kepada anggotanya yang secara ‘kebetulan’ berjaya menahan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas operasi di Bukit Wang Burma, Wang Kelian pada 19 Januari 2015.

Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem dan kubur di Wang Kelian, Perlis, Tun Arifin Zakaria semasa membacakan keterangan saksi pertama Koperal Mat Ten berkata, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) itu memberitahu bahawa dia berjaya menahan enam PATI terbabit yang berjaya meloloskan diri itu semasa mahu mengisi minyak pada malam tarikh berkenaan.

Keterangan anggota itu direkodkan semasa prosiding tertutup RCI sebelum ini.

Arifin membacakan catatan keterangan itu semasa bertanya kepada Komander Kompeni B Batalion 3 Briged Utara PGA Bidor, ASP M A Joeking sama ada benar atau tidak beliau pernah mengeluarkan kata-kata berkenaan.

Bagaimanapun Joeking yang juga saksi kelima menafikan perkara itu.

“Saya tak percaya, ini tak betul. Kalau saya dimaklumkan berkaitan tangkapan itu, mesti saya suruh dia buat laporan, kenapa saya nak marah dia pula,” katanya yang dipanggil semula oleh panel RCI pada hari ke-12 prosiding di Putrajaya, hari ini.

Keterangan Mat Ten berkenaan merujuk kepada operasi PGA pada 19 Januari 2015 membabitkan tangkapan 38 PATI semasa pasukan itu membuat tinjauan selepas penemuan kem pemerdagangan migran di Bukit Wang Burma.

Ariffin membangkitkan perkara itu selepas mendapati keterangan Joeking bertentangan dengan kenyataan kebanyakan saksi lain.

Malah untuk mempertahankan dirinya, Joeking turut mempertikaikan kesahihan catatan yang direkodkan sekretariat RCI sepanjang prosidingnya pada 18 April lalu.

Kredibiliti Joeking turut menarik perhatian Timbalan Pengerusi RCI Tan Sri Norian Mai apabila membangkitkan kenyataan saksi lain bahawa pegawai polis itu kerap berada di Wang Kelian dan Danok walaupun pada waktu hari tidak bertugas sedangkan pasukannya pulang ke kem PGA di Perak.

Bagaimanapun beliau sudah menjangkakan jawapan penafian apabila Joeking menegaskan bahawa semua tuduhan itu adalah palsu.

Ahli lain ialah bekas Ketua Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Noorbahri Baharuddin; bekas Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Tan Sri Razali Ismail dan bekas Ketua Penyelidik, Jabatan Peguam Negara, Datuk Junaidah Abdul Rahman.

Selain itu panel RCI ialah bekas Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussin dan bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

NORIAN: Daripada beberapa keterangan saksi-saksi lain yang kita terima, ada menyatakan bahawa awak sentiasa berada di utara iaitu di kawasan sana pada waktu-waktu tidak bertugas. Adakah ini benar?

JOEKING: Ini adalah satu tuduhan yang palsu.

NORIAN: Saya sudah menjangkakan itulah jawapan awak. Awak banyak kawan-kawan di Bukit Kayu Hitam, di sebelah seberang sana dan selalu mengadakan perjumpaan. Apakah komen awak?

JOEKING: Saya memang ada dua tiga orang kawan di mana-mana kawasan operasi.

NORIAN: Adakah kerap berjumpa sama ada di sebelah Malaysia atau Thailand?

JOEKING: Kalau kawan memang ada biasa jumpa di kawasan itu.

ARIFIN: Ini Koperal Mat Ten kata, malam itu saya jumpa lagi lebihan orang yang lari dari atas tadi. Masa itu saya nak isi minyak motor kalau tak silap di Caltex yang dekat Wang Kelian. Saya nampaklah mereka jalan kaki enam orang, saya panggil Land Rover untuk ambil. Dia kata, awak kata "You betul-betul bodohlah, saya sudah cakap jangan cari.”

Mat Ten kata lagi: "Macam mana saya cari tuan, dia berjalan jadi saya telefon, bukan saya cari, susahlah saya nak buat kerja macam ini.” Itu dia mengadu.

JOEKING: 'I don't believe this, its not right', kalau saya dimaklumkan berkaitan dengan tangkapan mesti saya suruh dia buat 'report', kenapa saya nak marah dia.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 5:56pm
d