mutakhir

Tak sempat ambil bekal

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

POLIS Negeri Sembilan menahan pengedar dadah dan merampas dadah bernilai lebih RM13,000 di FELDA Pasoh 4, Jelebu Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Pang Jin Lai berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di belakang rumahnya ketika pulang untuk mengambil bekalan makanan 11.30 malam.

Katanya, suspek dipercayai mahu masuk semula ke kawasan pinggir hutan berdekatan untuk meneruskan kegiatan pengedaran dadah kepada penagih tempatan.

“Bagaimanapun, polis bertindak pantas menyerbu rumah suspek dan dia cuba melarikan diri ke kawasan kebun sawit di belakang rumahnya sebaik menyedari kehadiran polis.

“Suspek berjaya diberkas dan pemeriksaan pada beg sandang dibawa menemui heroin dianggarkan 224.5 gram serta syabu (36.7 gram),” katanya hari ini.

Pang berkata, ujian saringan dilakukan turut mendapati suspek positif opiate selain mempunyai sembilan rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Katanya, suspek direman tujuh hari sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 6:00pm
d