mutakhir

Belum putus kurang kadar tol - PM

Oleh Irwan Shafrizan Ismail dan Mahanum Abdul Aziz

KERAJAAN masih belum memutuskan sebarang mekanisme bagi mengurangkan kadar tol, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, sememangnya ada cadangan pihak swasta untuk mengurangkan kadar tol tetapi tidak sampai penurunan sehingga 25 peratus.

“Pada masa ini kita belum dapat tentukan apa yang kita harus lakukan berkenaan tol.

“Memang ada cadangan pihak swasta untuk mengurangkan (kadar) tol tapi tidak sampai 25 peratus, ini supaya mereka dapat ambil alih, tapi ini belum diputuskan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2019 di Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin dalam satu temubual baru-baru ini yang menyatakan bahawa kajian yang dilakukan menunjukkan kerajaan berupaya menurunkan kadar tol sehingga 25 peratus.

Dr Mahathir berkata, itu adalah pendapat Daim, namun kerajaan belum membuat kajian bagaimana kadar tol boleh diturunkan sehingga 25 peratus.

“Saya tidak tahu banyak mana yang boleh kita kutip (kalau kadar tol turun 25 peratus).

“Kita sekarang ni menghadapi masalah, walaupun kita buat perjanjian untuk menghapuskan tol. Tetapi apabila tol dihapus, tanggungan kerajaan akan meningkat amat tinggi sekali.

“Umpamanya, kalau nak hapuskan tol PLUS kerajaan kena beli lebuh raya itu dengan harga RM30 bilion. RM30 bilion itu lebih baik kalau kita belanja bayar hutang, boleh kita kurangkan sikit beban kita.

“Jadi, pada masa ini belum kita dapat tentukan apa yang harus dilakukan berkenaan dengan tol,” katanya.

Perdana Menteri berkata, adalah benar rakyat akan berasa lega sekiranya tol diturun atau dihapuskan.

“Tetapi kerajaan tidak lega kerana tol itu akan dibayar kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga belum memutuskan permintaan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia supaya kuota khas sekurang-kurangnya 20 peratus diberikan kepada kontraktor Bumiputera yang terbabit dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Kita ada tentukan supaya kontraktor tempatan dapat tempat tetapi sama ada mereka Bumiputera ataupun bukan Bumiputera belum ditentukan,” katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 6:32pm
d