mutakhir

KETENGAH taja lapan lepasan SPM

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

LAPAN pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu penduduk di wilayah tadbiran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) mendapat biasiswa KETENGAH bagi mengikuti pengajian di peringkat Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Kolej KETENGAH pada tahun ini.

Lapan pelajar termasuk tiga anak kakitangan KETENGAH itu akan menerima biasiswa keseluruhan untuk tempoh pengajian selama dua tahun empat bulan sebanyak RM25,190 setiap seorang.

Pengerusi KETENGAH, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, pelajar terpilih itu menepati piawaian ditetapkan iaitu lulus SPM dengan sekurang-kurangnya tiga kredit dalam mana-mana mata pelajaran.

“Setiap penerima akan menerima wang saku RM300 sebulan selama tempoh 28 bulan dan yuran keseluruhan pengajian sebanyak RM16,790 menjadikan jumlah terkumpul biasiswa ialah RM25,190 seorang.

“Pelajar mendapat tajaan itu perlu memastikan mereka mendapat keputusan sekurang-kurangnya Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.50 pada setiap semester,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media dan Penyerahan Tajaan Biasiswa KETENGAH di Kuala Nerus, malam tadi.

Zulkifli berkata, selain pemberian biasiswa itu, pihaknya melalui Tabung Amanah Masyarakat KETENGAH (TAMK) memperuntukkan sebanyak RM720,000 untuk diagihkan kepada golongan memerlukan termasuk penduduk miskin, orang kurang upaya (OKU) dan sakit melarat.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti 1,357 penduduk miskin, 945 OKU dan sakit melarat untuk menerima bantuan itu sepanjang Ramadan ini.

“Harapan kami supaya bantuan diserahkan itu dapat meringankan beban dan membolehkan mereka membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri nanti.

“KETENGAH akan menganjurkan program khas bagi menyerahkan sumbangan itu pada 1 Jun ini dan ia akan diserahkan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun di Pusat Komuniti Desa (PKD) Terengganu di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun,” katanya.

Beliau berkata, setiap penerima akan menerima RM200 seorang dan diharap bantuan diberikan itu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Menurutnya, KETENGAH sentiasa prihatin dengan nasib golongan kurang berkemampuan dan program seperti itu akan diteruskan pada setiap tahun bagi meringankan beban golongan yang memerlukan pada Ramadan dan Syawal.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 9:30pm
d