mutakhir

Cari pasal...

Oleh Zuliaty Zulkiffli

HANYA sekadar suka-suka dan ingin mencuba menyebabkan berlakunya kes cincin yang diletakkan pada kemaluan sukar ditanggalkan.

Berikutan itu, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dipanggil untuk membantu menanggalkannya melalui khidmat khas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, setakat ini hanya satu kes dikesan di Kedah yang membabitkan cincin terlekat pada kemaluan.

Beliau berkata, anggotanya terpaksa berhati-hati untuk menanggalkan cincin berkenaan kerana bimbang ia mungkin mendatangkan kecederaan atau luka kepada mangsa.

“Kebanyakannya berlaku pada golongan muda. Mereka mungkin nak cuba sesuatu yang baru atau menguji kekuatan atau tahan lama tetapi tak seperti yang mereka harapkan pun.

“Namun ia boleh mengundang padah apabila cincin terlekat dan usaha untuk menanggalkannya bukan mudah dan perlu bantuan anggota kami (bomba),” katanya ketika ditemui di pejabatnya di JBPM Kedah, Jalan Suka Menanti, di Alor Setar, semalam.

Mohamadul Ehsan berkata, tahun lalu JBPM Kedah menerima 12 kes termasuk satu kes terlekat cincin pada kemaluan yang diterima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hitech, manakala selebihnya kes cincin terlekat pada jari.

Bagaimanapun, kes membabitkan cincin terlekat pada jari meningkat tahun ini dan sejak awal tahun ini hingga Mei, sebanyak 15 kes diterima anggotanya.

“Kita nasihatkan orang ramai jangan cuba sesuatu yang boleh mengundang bahaya terutama cincin pada kemaluan kerana sekiranya tersilap atau tersalah potong kemaluan boleh menyebabkan nyawa melayang.

“Biasanya di hospital tidak mempunyai alat untuk menanggalkan dan meminta bantuan pihak kami untuk melakukan operasi membuang cincin yang terlekat itu,” katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2019 @ 9:07am
d