mutakhir

454 papan iklan haram di PLUS Negeri Sembilan

Oleh Mohd Amin Jalil

SEBANYAK 454 papan iklan haram didirikan di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan di Negeri Sembilan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong berkata, papan iklan itu dikesan menerusi operasi yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, terdapat dua struktur baharu dinaikkan oleh pihak tertentu dan PBT sudah mengeluarkan notis arahan roboh yang akan ditampal di papan iklan terbabit dalam tempoh terdekat.

“Setiap papan tanda yang ingin dinaikkan perlu mendapat kelulusan PBT, kerana ia di bawah seliaan kerajaan tempatan.

“Bagaimanapun, ramai pemilik papan iklan tidak mematuhi peraturan sehingga boleh memberi kesan kepada aspek keselamatan orang ramai,” katanya kepada pemberita di Wisma Negeri di Seremban, semalam.

Mengulas lanjut, Teo berkata, pemasangan papan iklan haram itu turut mengakibatkan kerugian dari segi kutipan hasil kerana pemilik tidak membayar cukai kepada kerajaan negeri.

“Kita tidak mahu kejadian pada 2017 yang mana papan iklan gergasi di tepi Lebuhraya Utara Selatan dekat Kampung Labu runtuh dan menghempap sebuah rumah dalam kejadian ribut hingga mengakibatkan penghuni cedera, berulang,” katanya.

Justeru itu, beliau berharap pemilik papan iklan berkenaan termasuk pemilik tanah yang menyewakan tanah mereka supaya memberikan kerjasama dalam program pemutihan yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Beliau berkata, program pemutihan itu dirancang dilaksanakan selepas tarikh tutup notis permohonan daripada pemilik pada 15 April lalu, namun dilanjutkan sehingga akhir Jun depan.

Katanya, kelonggaran itu diberikan kerana hanya sebahagian kecil saja daripada pemilik papan iklan berkenaan yang memberikan maklum balas kepada PBT selain memberi peluang kepada pemilik atau penyewa menyambut Aidilfitri.

“Peringatan dan notis sudah dikeluarkan kepada pemilik papan iklan haram untuk mengemukakan permohonan bagi proses pemutihan bermula awal Mac sehingga 15 April lalu.

“Bagaimanapun, hanya sebilangan kecil pemilik terbabit yang memberikan maklum balas. Sebagai contoh daripada 429 pemilik papan iklan tidak berlesen dalam kawasan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) hanya 60 yang memberi maklum balas,” katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2019 @ 10:47am
d