mutakhir

Kecil-kecil sudah merokok

Oleh Zuhainy Zulkiffli

KETAGIHAN merokok termasuk penggunaan rokok elektronik (vape) dalam kalangan pelajar sekolah kini berada pada tahap kritikal dan membimbangkan.

Malah pada usia masih mentah itu, golongan berkenaan sanggup menghabiskan wang puluhan ringgit setiap bulan membeli rokok dan vape.

Pegawai Penyelidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata, tinjauan persatuan itu mendapati pelajar sekolah sanggup berbelanja melebihi RM60 sebulan bagi meneruskan ketagihan vape.

Katanya, RM50 sebulan pula diperuntukkan pelajar sekolah menengah bagi membeli rokok.

Katanya, penjualan rokok dan vape dalam kalangan pelajar pada masa kini begitu mudah sama ada membeli sebatang atau sekotak rokok.

“Kaji selidik mendapati ada antara pelajar terbabit sanggup menipu ibu bapa bagi mendapatkan wang dengan alasan mahu membeli buku atau menghadiri aktiviti di sekolah selain meminjam dengan orang lain.

“CAP juga hairan bagaimana pelajar yang berusia seawal 14 tahun boleh membeli rokok dan vape dengan mudah di kedai runcit,” katanya.

Subbarow berkata demikian ketika menyampaikan ceramah Kempen Anti Merokok Sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Xavier, Georgetown yang dirasmikan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran dan Pemangku Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader.

Mengulas lanjut, Subbarow berkata, menghisap vape kini popular dalam kalangan pelajar dan ada yang sanggup berkongsi wang bagi membeli cecair itu.

Mereka juga menghisap secara bergilir-gilir dan boleh menghabiskan sebotol cecair itu hanya dalam masa dua hari.

CAP mendapati sudah ada murid sekolah rendah terpengaruh dengan pengambilan shisha yang boleh didapati dalam enam perisa buah-buahan.

“Shisha boleh disedut 500 kali dan bahan kimianya dipercayai sama dengan cecair kimia yang terdapat dalam vape.

“Kami tidak pasti bagaimana murid berusia 10 hingga 12 tahun boleh dapat shisha ini dan mereka perlu tahu bahawa rasa buah itu datangnya dari bahan kimia, bukan buah,” katanya.

Sebatang rokok mengandungi 6,000 bahan kimia dan setiap batang yang dihisap akan mengurangkan enam minit dalam kehidupan perokok.

Tiada bukti mengatakan penggunaan vape adalah selamat kerana kandungan tar di dalamnya akan mengganggu paru-paru dan boleh menyebabkan barah.

Sementara itu, Narenasagaran berkata, tabiat merokok dan vape juga sudah menular dalam kalangan pelajar perempuan.

“Antara faktor dikenalpasti adalah pengaruh sosial seperti rakan sebaya, keluarga dan diri yang mana perasaan ingin tahu dan mahu mencuba.

“Peningkatan peratusan perokok dan vape di negara ini berpunca daripada masalah sosial yang tidak ditangani dengan baik malah ia dijadikan budaya bagi mencari ketenangan dan kawan selain mengisi kekosongan dalam hati,” katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2019 @ 11:37am
d