mutakhir

Tok sidang tokan mercun dan rokok seludup [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

TINDAKAN tok sidang menyimpan sejumlah mercun dan rokok seludup di sebuah rumah kosong mengundang padah apabila ditahan polis dalam serbuan di kuarters kerajaan di Kampung Gajah, Seri Iskandar kelmarin.

Lelaki berusia 57 tahun itu yang juga kakitangan awam sebuah jabatan yang kini bercuti sebelum bersara ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah pada 11.10 malam hasil maklumat dan risikan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan itu membawa kepada rampasan 186 kotak mercun dan 74 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM7,000.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati lokasi rumah kosong itu berhampiran dengan rumah suspek dalam kuarters sama dan dijadikan tempat penyimpanan barang terlarang itu untuk dijual pada musim perayaan ini.

“Soal siasat mendapati suspek memperolehi bekalan mercun dan rokok seludup dari Teluk Intan dan pasarannya di sekitar Perak Tengah.

“Suspek juga mempunyai sebuah kedai runcit dan dipercayai sudah hampir enam tahun menjual rokok seludup, namun tidak dijual secara terbuka dan hanya kepada individu tertentu saja,” katanya pada sidang media di IPD Perak Tengah di Seri Iskandar hari ini.

Mohamad Zainal berkata, ketika serbuan suspek baru beberapa jam menerima bekalan mercun daripada pembekal dan belum sempat menjualnya.

Katanya, polis juga percaya suspek sudah mempunyai pelanggannya sendiri dengan menjual barang terlarang itu tiga kali ganda daripada harga asal.

“Polis juga sedang menyiasat pembekal bahan terlarang itu dan status sebenar pekerjaan suspek.

“Suspek kini direman sehingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Zainal mengingatkan penduduk sekitar Perak Tengah supaya memaklumkan ketiadaan mereka yang pulang ke kampung kepada polis yang akan memantau kediaman mereka sepanjang cuti perayaan ini.

“Warga Perak Tengah juga boleh melaporkan ketiadaan mereka itu melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) supaya polis boleh memantau rumah mereka siang dan malam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2019 @ 1:00pm
d