mutakhir

[UPDATE] Hilang kawalan punca kemalangan

Oleh Mohd Sabran Md Sani

HILANG kawalan dipercayai menjadi punca lori tangki terbabas dan masuk gaung sedalam tiga meter di Jalan Ulu Tebrau ke Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, kejadian itu mengakibatkan pemandunya, Zulhairy Zainol, 31, dan kelindannya maut di tempat kejadian akibat terbakar.

Katanya, kemalangan membabitkan lori tangki itu dipercayai berlaku 8.30 pagi ketika kenderaan itu dari arah Ulu Tiram menghala ke Felda Ulu Tebrau.

“Apabila tiba di tempat kejadian dipercayai kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas di sebelah kiri.

“Akibat pelanggaran terbabit, pemandunya yang berasal dari Pekan Pahang terbakar pada paras pinggang hingga ke bawah,” katanya mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, kemalangan itu mengakibatkan kelindan tersepit dan terbakar seluruh badan di dalam lori manakala kelindan kedua tercampak keluar.

Beliau berkata, siasatan mendapati, jalan selekoh, dua lorong dan jalan dua hala, selain keadaan cuaca baik dan jalan kering.

“Keadaan tempat dan lalu lintas tidak sesak,” katanya. Mengulas lanjut katanya, pemandu treler terbakar bahagian pinggang ke bawah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala kelindan pertama terbakar seluruh badan juga meninggal di lokasi.

“Bagaimanapun kelindan ketiga yang parah masih ditempatkan di Zon Merah Hospital Sultan Ismail (HSI),” katanya.

Katanya, identiti dua kelindan itu masih belum diperoleh.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita berkaitan

Dua maut, satu cedera lori tangki jatuh gaung

Disiarkan pada: May 28, 2019 @ 2:32pm
d