mutakhir

Khutbah Jumaat guna bahasa Orang Asli

Oleh Shahrinnahar Latib

ENAM masjid di kawasan perkampungan Orang Asli di Pahang menggunakan bahasa etnik masing-masing dalam khutbah Jumaat sejak 2010.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, enam masjid itu adalah di Kampung Pantos, Lipis; Kampung Kuala Boh, Cameron Highlands; Kampung Pasal, Bera; Kampung Penderas, Temerloh; Kampung Bukit Serok, Rompin dan Kampung Sungai Mas, Kuantan.

“Kita sasarkan empat lagi masjid akan menggunakan bahasa Orang Asli dalam khutbah Jumaat menjelang akhir tahun ini.

“Empat kampung itu adalah Kampung Leria, Cameron Highlands; Kampung Runchang, Pekan; Kampung Buluh Nipis, Muadzam Shah dan Kampung Senderut, Lipis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat MUIP, Insentif Huffaz Mutqin dan Pek Ramadan di Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), Kuantan hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Datuk Dr Zulkifle Ali dan Naib Canselor UCYP, Prof Emeritus Datuk Dr Ahmad Zainuddin.

Pada majlis itu 70 pelajar Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Orang Asli (PETAMA) dan 300 pelajar MTNP menerima sumbangan wang tunai dan kelengkapan hari raya.

Sementara itu, Wan Abdul Wahid berkata, penyampaian khutbah Jumaat mengikut bahasa etnik masing-masing seperti Semai, Temiar dan Jakun dikendalikan sepenuhnya oleh masyarakat Orang Asli.

“Aktiviti masjid pula dibantu bekas pelajar PETAMA anjuran Yayasan Pahang dan mereka inilah yang menjadi imam dan bilal di masjid berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, MUIP kini dalam proses pemilihan imam dalam kalangan pelajar program PETAMA untuk dihantar ke kampung berkenaan bagi memimpin dan menggerakkan kampung Orang Asli.

Disiarkan pada: May 28, 2019 @ 3:02pm
d