mutakhir

Didenda RM1,800 miliki wang curi RM150

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

MAHKAMAH Majistret Kuala Terengganu, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,800 terhadap seorang lelaki kerana memiliki wang curi berjumlah RM150.

Tertuduh, Hafriezaldi Mohamad, 35, dari Felda Sebertak, Triang, Pahang turut berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Majistert Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap tuduhan mengikut Seksyen 411, Kanun Keseksaan kerana memiliki atau menyimpan harta curi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyimpan harta curi iaitu wang RM150 milik Shahrul Syawal Malike, 31, yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya menerusi pindahan perbankan Internet di Pejabat Tapak Kompleks Tabung Haji (TH) Gong Badak, Kuala Nerus, jam 3.45 petang, 28 Julai 2018.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa berminat dengan tawaran jualan sebuah telefon bimbit jenis Nokia yang diiklankan tertuduh di laman mudah.my.

Hasil perbincangan bersama tertuduh, mangsa bersetuju membeli telefon itu sebelum membuat pindahan wang sebanyak RM150 melalui perbankan Internet ke dalam akaun diberikan.

Bagaimanapun, tertuduh gagal dihubungi selepas kejadian itu menyebabkan mangsa membuat laporan polis.

Susulan laporan dibuat, tertuduh ditangkap di perkarangan Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Negeri Sembilan, jam 3.50 petang, 23 Disember 2018.

Disiarkan pada: May 28, 2019 @ 3:36pm
d