mutakhir

'Malaysia bukan tempat buang sampah dunia' [METROTV]

Oleh Iskandar Shah Mohamed

SEGERA tampil atau dikenakan tindakan tegas.

Itu amaran kerajaan yang memberi tempoh 14 hari kepada syarikat pengeksport tempatan yang didapati bersekongkol membawa masuk pelbagai sisa sampah haram ke negara ini.

Notis itu dikeluarkan bagi semua proses lanjut terutama berkaitan urusan penghantaran semula kontena berisi bahan buangan berkenaan ke negara asal pengimportnya.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata, pihaknya mengesan 60 kontena mengandungi 3,000 metrik tan sisa sampah haram yang akan dihantar semula ke negara pengimport secara berperingkat.

“Ia termasuk 10 kontena dari Australia, Amerika Syarikat, Kanada, Arab Saudi, Jepun, China dan Bangladesh yang sudah menjalani pemeriksaan lanjut.

“Kita (kementerian) menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat ini sudah memeriksa 123 kontena yang rata-ratanya mengandungi bahan buangan plastik tercemar.

“Lima daripadanya juga sudah dihantar ke Sepanyol pada 29 April lalu sekali gus membuktikan ketegasan Malaysia dalam menangani isu sampah haram ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai melakukan pemeriksaan kontena di Wesports, Pelabuhan Klang hari ini.

Bee Yin berkata, pihaknya memberi tempoh 14 hari kepada semua syarikat pengeksport yang dianggap sebagai ‘pengkhianat’ kerana dikesan terbabit dalam aktiviti sisa sampah import berkenaan.

“Kita sudah menjalankan siasatan dan mengenal pasti syarikat itu yang terdiri daripada ‘pemain’ tempatan.

“Tempoh 14 hari itu diberikan kepada mereka untuk menguruskan penghantaran semula sampah haram berkenaan mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974. Jika gagal berbuat demikian, ia memperuntukkan hukuman denda dan penjara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan terus komited dengan pendirian bahawa Malaysia bukan lokasi pembuangan sampah dunia.

“Walaupun hanya negara kecil, kita tidak seharusnya dibuli oleh negara maju lain dan perlu memastikan kegiatan seumpama itu tidak terus berlaku,” katanya.

Menurutnya, siasatan pihaknya turut mengesan sebuah syarikat kitar semula di United Kingdom yang mengeksport 1,000 kontena berisi lebih 50,000 tan metrik sisa plastik, dua tahun lalu.

“Justeru, kita menggesa negara maju mengkaji semula pengurusan sisa plastik dan menghentikan penghantaran sampah ke negara membangun,” katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2019 @ 3:52pm
d