mutakhir

Geng BeiBei dianggotai remaja 15 tahun tumpas

Oleh Junaidi Ladjana

TINDAKAN awal polis menahan ahli Geng BeiBei yang dianggotai lima remaja lelaki berusia 15 tahun berjaya mengelak lebih banyak kejadian kes samun yang mensasarkan kedai 24 jam di Kota Kinabalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, bertindak atas laporan kejadian samun kedai 24 jam di Towering pada 3 pagi, 23 Mei lalu, polis menjalankan risikan dan siasatan.

“Polis juga memuat naik gambar suspek melalui Facebook Polis Daerah Penampang dan mendapat maklum balas orang ramai yang menyaksikan dua remaja lelaki 15 tahun ditahan di kawasan Lido, Kota Kinabalu, kelmarin.

“Hasil pendedahan kedua-dua suspek, polis berjaya menahan seorang lagi suspek juga berusia 15 tahun sebelum seorang lagi suspek umur sama yang diserahkan ibunya sendiri di balai polis,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji dan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Omar berkata, pihaknya sedang mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas dikenali sebagai Poi Hung Harng, 16.

“Kelima-lima suspek yang masih bersekolah itu dipercayai aktif melakukan samun dengan mensasarkan kedai 24 jam.

“Bagaimanapun aktiviti mereka terhenti apabila empat daripada lima geng itu ditahan,” katanya.

Sehubungan itu, Omar mengucapkan terima kasih atas tindakan netizen yang membantu menyalurkan maklumat kepada polis sehingga berjaya menahan suspek terbabit dalam kejadian samun di daerah Penampang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2019 @ 4:58pm
d