mutakhir

Kenapa tarik diri lepas 36 hari?

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

TINDAKAN peguam Syazlin Mansor menarik diri daripada inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim selepas prosiding sudah berlangsung selama 36 hari, menimbulkan persoalan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, ia memandangkan prosiding itu dijadualkan hanya berbaki dua hari lagi.

Sehubungan itu, pihaknya meminta pihak berkuasa menjelaskan isu berkenaan kerana ia sudah menimbulkan kegusaran berhubung ketelusan prosiding berkenaan.

“PPMM memahami Syazlin terpaksa menarik diri atas arahan daripada anak guamnya dan tidak boleh mengabaikan arahan tersebut.

“PPMM mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan yang diberikan bagi membawa keadilan kepada Allahyarham Muhammad Adib. Namun pihak berkuasa perlu memberikan penjelasan yang tuntas berkaitan hal ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, penarikan diri itu antaranya dikatakan pihak kerajaan sudah diwakili dalam prosiding itu dan menjadikan peguam berkenaan bersifat kelewahan (redundant).

Selain itu katanya, terdapat pelbagai perkara lain yang ditularkan mengundang kegelisahan awam tetapi tidak dapat disahkan.

“Daripada catatan prosiding inkues ini adalah amat jelas saksi-saksi dikemukakan KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) keterangannya sangat berbeza dari keterangan diberikan saksi dikemukakan Jabatan Peguam Negara.

“Timbul persoalan di sini adakah Jabatan Peguam Negara mahu beberapa fakta matan kepada prosiding tersebut tidak diberi pertimbangan koroner?” katanya.

Zainul Rijal berkata, Jabatan Peguam Negara mesti menjelaskan berhubung dakwaan terdapat arahan pihak tertentu mendesak Syazlin menarik diri.

“Malah, Jabatan Peguam Negara juga sehingga hari ini tidak mengesahkan beberapa orang yang diberikan jaminan mulut dibebaskan setelah direman masih berada di dalam pemantauan pihak berkuasa atau tidak,” katanya.

Semalam, Syazlin dilaporkan menarik diri daripada mewakili pihak berkepentingan dalam inkues kematian Muhammad Adib dipercayai berpunca daripada tekanan pihak tertentu.

Difahamkan, keputusan itu dibuat Syazlin selepas beliau menerima surat daripada pihak berkenaan, baru-baru ini.

Syazlin sebelum ini mewakili KPKT, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan keluarga anggota bomba itu, di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Berikutan itu, Rofiah menetapkan 26 Jun depan sebagai sebutan inkues.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Disiarkan pada: May 28, 2019 @ 6:02pm
    d