mutakhir

Kabinet bincang isu bil TNB esok

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

ISU dakwaan pengguna dikenakan bil tinggi oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dibawa dan dibincang dalam mesyuarat Kabinet esok.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau secara peribadi turut menerima banyak aduan menerusi WhatsApp daripada pelbagai pihak berkenaan isu berkenaan.

“Saya sendiri menerima banyak kiriman WhatsApp dan langkah yang saya akan ambil, esok yang mana saya percaya ramai rakan jemaah menteri juga akan membawa perkara ini (isu bil TNB).

“Sebab ini kita terima reaksi dari seluruh negara, jadi apakah perkara yang menyumbang kepada keadaan itu berlaku, apa puncanya dan kalau kita sudah tahu sebab dan punca sudah tentu kita akan cari jalan (penyelesaian).

“Malah esok jemaah menteri boleh mendengar sendiri barang kali ada penjelasan lanjut daripada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan KPDNHEP di Putrajaya hari ini.

Isu kenaikan bil elektrik menjadi bualan hangat netizen di media sosial malah ada pihak yang berkongsi rasa tidak puas hati mereka dengan caj penggunaan elektrik yang didakwa mereka meningkat berbanding bil sebelum ini.

Difahamkan KPDNHEP menerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia setakat ini masih belum lagi menerima sebarang tuntutan yang difailkan pengguna berhubung kenaikan luar biasa bil elektrik mereka.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Pengamatan Tun Daim itu benar dan itu tidak lari jauh dari bacaan atau perkiraan kami. Memasuki tahun kedua di KPDNHEP, kita akan berusaha lebih bersungguh sungguh.

“Bahkan saya akan mengambil usaha untuk menemui beliau selepas sambutan hari raya nanti untuk mengadakan perbincangan lebih dekat dan mengambil pandangan dan syor beliau,” katanya.

Baru-baru ini Daim dalam satu temubual berkata beliau yakin harga barang boleh turun dengan menangani masalah orang tengah yang mengaut keuntungan melampau.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan kajian serta pertemuan beliau dengan pelbagai pihak termasuk pihak koperasi dan pemborong.

Daim juga sudah memaklumkan KPDNHEP supaya memastikan penguatkuasaan dilaksanakan dengan baik.

Disiarkan pada: May 28, 2019 @ 6:42pm
d