mutakhir

Tak ikut polisi mohon pinjaman KWAP

Oleh Murni Wan Omar

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan bahawa surat permohonan pinjaman RM3.95 bilion yang dikemukakan SRC International Sdn Bhd (SRC) tidak mengikut polisi apabila ia dialamatkan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Datuk Azian Mohd Noh berkata, peminjam sepatutnya mengemukakan permohonan kepada KWAP dengan disertakan dokumen sokongan atau kertas kerja pinjaman.

“Pada Jun 2011, saya menerima surat asal daripada SRC bertarikh 3 Jun 2011 daripada Pegawai Khas Najib iaitu Datuk Azlin Alias.

“Saya dihubungi oleh pejabat arwah untuk berjumpa di lobi sebuah hotel di KL Sentral di Kuala Lumpur.

“Saya ke situ selepas waktu kerja dan menerima secara serahan tangan daripada Azlin.

“Saya dimaklumkan bahawa Najib bersetuju dengan cadangan permohonan SRC itu. Saya dirujuk kepada catatan atas surat itu yang dibuat oleh Najib sendiri,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff.

Azian yang sudah bersara berkata, surat yang diterima itu adalah permohonan pinjaman yang disediakan oleh SRC dan dialamatkan kepada Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia.

“Ia bagi mendapatkan pinjaman daripada KWAP sebanyak RM3.95 bilion untuk modal pusingan dan pelaburan am tanpa had. Surat itu ditandatangani oleh Pengarah SRC Nik Faisal Ariff Kamil.

“SRC ketika itu adalah syarikat milik penuh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Dalam surat itu terdapat catatan tulisan tangan serta tanda tangan Najib yang ditujukan kepada saya menyatakan ‘bersetuju dengan cadangan ini’.

“Mengikut pemahaman saya ia bermakna Najib setuju KWAP beri pinjaman kepada SRC,” katanya.

Menurut Azian, keesokan harinya beliau bertemu dengan Pengerusi KWAP, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan memaklumkan berhubung surat itu.

“Wan Abdul Aziz berkata beliau juga sudah dimaklumkan Najib berhubung perkara itu.

“Beliau (Wan Abdul Aziz) mengarahkan KWAP mengkaji permohonan itu dan dikemukakan untuk pertimbangan serta keputusan Panel Pelaburan KWAP.

“Penilaian oleh Jabatan Pendapatan Tetap KWAP menentukan bahawa hanya dapat menyediakan pinjaman berjumlah RM1 bilion selepas mengambil kira risiko pembayaran, risiko negara dan risiko industri memandangkan jumlah pinjaman yang tinggi,” katanya.

Azian berkata, seorang panel pelaburan memberi pendapat supaya Najib dimaklumkan bahawa KWAP mencadangkan pinjaman pembiayaan berjumlah RM1 bilion sahaja kepada SRC.

“Saya dan Wan Abdul Aziz pergi berjumpa Najib di Pejabat Perdana Menteri. Kami memaklumkan tentang hasil keputusan. Namun saya tidak ingat tarikh perjumpaan.

“Selepas itu, kertas Panel Pelaburan Khas disediakan untuk pertimbangan kelulusan pinjaman RM2 bilion kepada SRC,” katanya.

Tambah Azian, dalam mesyuarat khas, Jabatan Pendapatan Tetap membentangkan supaya syarat dan terma perjanjian bagi pinjaman SRC diperketatkan.

“Syarat tambahan adalah seperti mendapat jaminan daripada Kerajaan selain syarat khas ditetapkan supaya tiada pertukaran struktur milikan SRC.

“Saya turut memaklumkan kepada mesyuarat bahawa Najib memaklumkan kepada Pengerusi KWAP untuk mempercepatkan proses kelulusan pinjaman ini dan jumlah pinjaman sebanyak RM2 bilion sudah mencukupi,” katanya.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

Disiarkan pada: May 28, 2019 @ 8:27pm
d